ANGKASA DAN KITA

Pada 16 Januari 2021, Kelab Iqra’ Kolej Ungku Omar Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan sebuah program Angkasa dan Kita dengan jayanya secara atas talian. Angkasa dan Kita merupakan program mengenai ilmu Astronomi dan Islam yang bertemakan Menyingkap Kebesaran Pencipta.

 

Pengintegrasian antara ilmu Sains dan Islam merupakan salah satu tujuan utama program ini dilaksanakan. Konsep integrasi tersebut akan menjadikan kegiatan sains tidak dipisahkan dari konsep ketuhanan dan ayat-ayat Al-Quran iaitu tidak seperti pengamalan ilmu sains yang hanya mengaitkan sesuatu kejadian sebagai hukum alam dan menafikan kewujudan serta penglibatan Tuhan.

 

Program ini dimulakan dengan Pertandingan Kuiz Astronomi dan Islam menggunakan platform Quizizz dengan jumlah penglibatan peserta adalah seramai 45 orang. Seterusnya, seramai 128 orang telah menyertai forum bertajuk Merungkai Rahsia Angkasa yang dilaksanakan secara langsung di YouTube bersama ahli-ahli panel yang sangat berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang Astronomi dan Islam iaitu Encik Wan Mohd Aimran, pensyarah di Jabatan Fizik Gunaan, UKM dan Encik Mohd Razlan, pensyarah Akademik Pengajian Islam Kontemporari, UiTM.

 

Program ini telah mendedahkan kepada masyarakat berkenaan kepentingan ilmu Astronomi dalam kehidupan seorang muslim dan juga memberi galakan untuk sentiasa menjadikan kegiatan sains tidak dipisahkan dari konsep ketuhanan dan ayat-ayat Al-Quran. Selain itu, perkongsian mengenai sumbangan dan kehebatan para ilmuan Islam dalam bidang astronomi terdahulu mampu menggalakkan generasi masa kini untuk menjadi muslim yang berjaya dan hebat.