MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Sentimen Awam di Eropah terhadap Isu Minyak Kelapa Sawit: Kajian ke atas Laporan Akhbar Kesatuan Eropah

Research Grant, 2019

Abstract

Kejatuhan harga minyak sawit mentah diikuti dengan tekanan daripada Kesatuan Eropah memburukkan keadaan minyak sawit di Malaysia. Tindakan Kesatuan Eropah yang menimbulkan isu persekitaran terutama penggunaan biobahan api yang kononnya mengancam alam sekitar, isu kebimbangan terhadap perubahan iklim, kehilangan pelbagai flora dan fauna akibat penebasan hutan untuk menanam kelapa sawit dalam akhbar-akhbar utama mereka telah memberikan sentimen negatif terhadap minyak sawit Malaysia dalam kalangan pengguna di Eropah. Kesan-kesan negatif ini diperbesarkan melalui pengkritik minyak kelapa sawit dalam akhbar di Eropah. Impaknya harga minyak sawit semakin merudum sejak 2018 hingga kini. Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan penurunan hampir 50% iaitu harga minyak sawit mentah adalah RM3268 per tan matrik secara purata pada tahun 2017 tetapi menurun kepada RM1794 per tan matrik pada akhir tahun 2018. Malah harganya masih menunjukkan penurunan yang membimbangkan (MPOB, 2019). Ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara tetapi turut melibatkan 650,000 pekebun tempatan (Md Azrie Md Yusof, 2018). Walhal, Eropah merupakan pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia selama ini (Utusan Online, 2019). Masalah ini tidak boleh dipandang ringan walaupun terdapat peningkatan jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada tahun 2019 iaitu 1,878,194 tan berbanding 1,800,893 tan pada tahun 2018 tetapi kejatuhan harga minyak sawit Malaysia harus ditanggani segera oleh negara . Oleh itu, sebuah kajian harus dilakukan untuk mengkaji senario di Eropah berkaitan punca sebenar yang menyebabkan kejatuhan dan penurunan harga minyak sawit Malaysia di Eropah dan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh negara kita dalam menghadapi situasi kejatuhan harga minyak sawit Malaysia. Kajian ini akan menggunakan kaedah kualitatif iaitu analisis ke atas akhbar-akhbar utama di beberapa negara Eropah sebagai sumber primer kajian ini. Ini kerana penyebaran maklumat melalui akhbar merupakan elemen penting kajian ini untuk memahami sentimen dan perspektif masyarakat di Eropah mengenai kelapa sawit Malaysia.

Project Leader

Azlizan Mat Enh (Faculty of Social Sciences and Humanities, azlizan@ukm.edu.my)