Peranan Sisa Sawit ke Arah Mencapai Neutral Karbon 2050 di Malaysia

2024

Abstract

Malaysia diiktiraf sebagai negara pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia. Pada tahun 2023, hasil tandan buah segar adalah sebanyak 15.79 tan per hektar, peningkatan sebanyak 1.9 peratus berbanding tahun sebelum (MPOB, 2024). Pengeluaran minyak sawit mentah pula mencatat 18.55 juta tan pada tahun 2023 berbanding 18.45 juta tan pada tahun 2022. Seiring dengan perkembangan ini, pengeluaran minyak sawit  menghasilkan sisa biojisim yang besar setiap hari. Sisa ini boleh terhasil dalam bentuk pepejal atau cecair. Sisa pepejal kelapa sawit boleh diperolehi dalam batang kelapa sawit, tandan buah kosong, serat, atau cengkerang. Manakala bentuk cecair pula diklasifikasikan sebagai Palm Oil Mill Effluent (POME) yang terhasil daripada pemprosesan tandan buah segar kepada minyak sawit mentah. Walaubagaimanapun, pengeluaran minyak kelapa sawit telah mengakibatkan masalah pelupusan sisa yang ketara (Abdullah & Sulaiman, 2013; Jafri et. al, 2021). Oleh itu, pengurusan sisa ini ditumpukan ke arah penghasilan produk-produk hijau seperti baja organik. Selain itu, sisa biojisim kelapa sawit ini juga berpotensi untuk menjadi satu sumber tenaga boleh diperbaharui. Hal ini selari dengan perbincangan dalam Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 dalam usaha membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang tahun 2050. Oleh itu, objektif kajian ini adalah : 1) menganggarkan jumlah sisa kelapa sawit dari tahun 1990 sehingga 2023 dan mengunjurkan jumlah sisa sawit dari tahun 2024 sehingga 2050; 2) mensimulasikan kesan peningkatan penggunaan tenaga biojisim ke atas pelepasan karbon di Malaysia. Bagi mencapai objektif pertama, kajian ini akan menganggarkan sisa sawit dari tahun 1990 sehingga 2023 menggunakan nisbah dan meramalkan sisa sawit sehingga tahun 2050 menggunakan kaedah Autoregressive Integrated Moving Average (ARIMA). Bagi mencapai objektif kedua, kajian ini menggunakan kaedah Dynamic ARDL (DARDL) bagi melakukan simulasi kesan peningkatan penggunaan biojisim ke atas pembebasan karbon di Malaysia sehingga tahun 2050. Hasil daripada kajian ini dapat memberi gambaran menyeluruh tentang tren pengeluaran sisa biojisim sepanjang tahun. Selain itu, hasil kajian ini juga akan dibentangkan dan dibincangkan bersama MPOB dalam membantu pembuat dasar dan pihak kerajaan dalam membentuk perancangan ke arah dasar yang berkaitan dengan penggunaan tanah, amalan pertanian, pemuliharaan alam sekitar dan matlamat kemampanan.

Project Leader

Abdul Hafizh Mohd Azam (Faculty of Economics and Management, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hafizhazam@ukm.edu.my)

Hakimah Nur Ahmad Hamidi (Faculty of Education, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), h.nur@umt.edu.my)