Pembinaan Model Strategi Pendayaupayaan Sosial dan Ekonomi Komuniti Pekebun Kecil ke arah Peningkatan Produktiviti Sawit di Felda Sahabat 1, Daerah Lahad Datu, Sabah.
Abstract
Industri sawit di zon Pantai Timur Sabah dilatarbelakangi oleh komuniti pekebun kecil sawit luar bandar yang berlokaliti di daerah-daerah seperti, Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Sandakan. Dari segi keluasan tanaman sawit dan populasi, Lahad Datu menyumbang keluasan tertinggi dan mempunyai populasi pekebun sawit yang ramai berbanding daerah lain disekitarnya. Tambahan pula, Palm Oil Industrial Cluster yang pertama kali ditubuhkan di Malaysia sebagai enjin transformasi pertumbuhan sosial dan ekonomi sawit terletak di Lahad Datu sejak tahun 2005. Walau bagaimanapun, daerah Lahad Datu masih tidak berjaya mencapai sasaran produktiviti pengeluaran hasil tanaman berjumlah 22 tan hektar setahun sebagaimana yang ditetapkan oleh MPOB. Kekangan hasil produktiviti sawit yang tidak memberangsangkan menyebabkan komuniti pekebun kecil sawit di Lahad Datu masih dibelenggu isu kemiskinan luar bandar dengan pendapatan sawit yang hanya mencapai 14 hektar pertahun. Rentetan daripada isu berkenaan, komuniti pekebun kecil sawit di Lahad Datu masih berada pada garis pendapatan B40. Bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan produktiviti, MPOB melancarkan pelbagai program pendayaupayaan yang bermatlamat menyelesaikan masalah komuniti secara akar umbi dengan akses bantuan kewangan, fizikal, dan modal insan. Hasrat MPOB adalah untuk melahirkan komuniti pekebun kecil sawit yang mampu berdikari membuat keputusan kolektif untuk meningkatkan taraf sosial dan mentransformasi ekonomi dengan sumber pendapatan sawit. Persoalannya, apakah strategi yang dipraktikkan oleh komuniti pekebun kecil sawit luar bandar sehingga mampu berdaya tahan dengan isu kemiskinan hasil daripada pendapatan sawit yang tidak mencapai sasaran khusus MPOB? Bertitik tolak daripada isu kemiskinan dan produktiviti yang cuba diatasi, objektif umum kajian ini bertujuan membina model strategi pendayaupayaan sosial dan ekonomi komuniti pekebun kecil sawit untuk meningkatkan produktiviti sawit. Secara khusus, kajian mempunyai tiga objektif kajian. Pertama, ialah untuk mengenalpasti strategi pendayaupayaan sosial komuniti pekebun kecil sawit untuk meningkatkan produktiviti sawit. Kedua, ialah untuk mengenalpasti strategi pendayaupayaan ekonomi komuniti pekebun kecil sawit untuk meningkatkan produktiviti sawit. Ketiga, ialah untuk membina model strategi pendayaupayaan sosial dan ekonomi komuniti pekebun kecil sawit untuk meningkatkan produktiviti. Selari dengan objektif kajian, kaedah penyelidikan secara pragmatik dilaksanakan dengan menggabungkan reka bentuk kajian kuantitatif (objektif A dan B) dan kualitatif (Objektif C) bagi memperoleh pemahaman komprehensif tentang strategi pendayaupayaan sosial dan ekonomi komuniti untuk berdaya tahan dengan isu kemiskinan luar bandar disebabkan oleh pendapatan sawit yang tidak mencapai sasaran MPOB. Pendekatan penyelidikan menggunakan kaedah tinjauan deksriptif digunakan untuk mengenalpasti strategi pendayaupayaan sosial dan ekonomi komuniti pekebun kecil sawit. Manakala, kaedah temu bual menggunakan kaedah perbincangan kumpulan fokus (FGD) digunakan bagi mencapai persetujuan kolektif bagi pembinaan model. Teknik pengumpulan data menggunakan instrumen kajian iaitu alat kaji selidik yang dibina berdasarkan kajian literatur yang terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu: (A). Profil sosio-demografi, (B). Strategi pendayaupayaan sosial dan (C). Strategi pendayaupayaan ekonomi. Manakala, panduan protokol temu bual bagi perbincangan kumpulan fokus (FGD) dibangunkan berdasarkan nilai min tertinggi berkaitan strategi pendayaupayaan sosial dan ekonomi responden. Pemerhatian turut serta juga dilaksanakan sewaktu edaran borang kaji selidik dan temu bual berlangsung di lokaliti. Kajian rintis dilaksanakan atau pilot test dilaksanakan dengan penglibatan 30 orang responden di daerah Lahad Datu secara atas talian untuk menguji ketekalan dan kebolehpercayaan item soal selidik. Setelah nilai Cronbach Alpha diperolehi, komponen dalam soal selidik dinilai dan dimurnikan. Teknik pensampelan rawak mudah dipilih dengan teknik pensampelan kluster. Kluster atau kelompok responden ditentukan berdasarkan kawasan/lokaliti dalam daerah Lahad Datu. Kawasan kajian berlokasi di Felda Sahabat 1, Jalan Cenderawasih, Peti Surat 134, 91550, Lahad Datu, Sabah. Kriteria unit analisis ialah komuniti pekebun sawit yang mempunyai keluasan tanah kurang daripada 5 hektar, mengusahakan sawit sebagai tanaman utama (sumber pendapatan utama bukan separuh masa) dan berada pada garis pendapatan B40. Teknik analisis data kajian adalah secara deksriptif digunakan bagi membincangkan hasil kajian objektif A dan B. Manakala, teknik analisis data secara tematik digunakan bagi menerangkan tema-tema utama yang terhasil daripada sesi FGD untuk objektif C iaitu pembangunan model. Dalam konteks jangkaan hasil, projek penyelidikan ini dijangka dapat membina model strategi pendayaupayaan sosial dan ekonomi untuk meningkatkan produktiviti sawit menurut persepsi komuniti pekebun kecil sawit di daerah Lahad Datu, Sabah. Sekaligus, memberikan input baharu kepada MPOB hasil daripada penyelidikan melalui penjelasan sosiologikal dengan fokus pembangunan komuniti luar bandar untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi pekebun sawit. Output projek penyelidikan ini mempunyai kepentingannya kerana mempunyai tiga implikasi kajian dari segi teoritikal, dasar dan praktikal. Implikasi kajian dari segi teoritikal ialah kemampuan kajian untuk membina model strategi pendayaupayaan sosial dan ekonomi dalam memerihal isu kemiskinan disebabkan hasil produktiviti sawit yang tidak mencapai sasaran 22 hektar pertahun di Lahad Datu. Implikasi kajian dari segi dasar ialah memberi input pengetahuan terkini tentang realiti sosial dan ekonomi komuniti luar bandar menyokong agenda pembangunan lestari (SDGs 2030) melalui SDG 1, 8, 10 dan 17. Melalui implikasi praktikal, kajian menyokong prinsip 4 MSPO iaitu tanggungjawab sosial (manusia) dan pembangunan ekonomi (keuntungan).