Pembinaan Modul Impak Teknologi ke atas Pekebun Sawit Era 4th IR (Revolusi Perindustrian)
Abstract
Kemajuan teknologi yang bergerak pantas sememangnya tidak dapat dikekang atau dibendung lagi. Secara realitinya, setiap perubahan dan pengembangan ini pasti memberi impak yang besar dalam sistem sosial masyarakat dan juga konteks pengurusan institusi yang secara langsung berkhidmat untuk masyarakat (Landau, 2018; Zettl, 2016). Hakikatnya, masyarakat akan lebih mudah mendapat maklumat dalam setiap segi dan maklumat tersebut dapat dikongsi dengan cepat dalam sistem jaringan sosial. Tidak kurang juga perubahan ini telah mencipta kedinamikan dalam proses permintaan (demand), trend dan kehendak (terutamanya dalam industri pertanian).
Hakikatnya, perkembangan teknologi juga telah menyebabkan tersebarnya pelbagai bahan audio visual di platform teknologi yang mendedahkan tentang pelbagai kaedah dan pengurusan yang melibatkan perhubungan langsung antara sistem media (sebagai pemberi maklumat) dan penyedia (pekebun sawit / pegawai pertanian) yang menghubungkan antara maklumat kepada masyarakat. Trend masyarakat dilihat kurang memberi perhatian tentang autoriti penyebaran maklumat dan menggunakan teknologi maklumat yang sedia ada hanya sekadar tujuan sosial dan hiburan (Tettegah, 2016). Walaupun terdapat kempen kesedaran yang didedahkan kepada masyarakat, namun pelbagai faktor yang menyebabkan mereka tidak mengambil endah ke atas isu tersebut. Antara lain kekurangan kepakaran tenaga kerja (pegawai dari jabatan yang terlibat – pekebun sawit / pegawai pertanian) dalam menyokong proses teknikal menghasilkan bahan audio visual, kontens dan platform media yang menjadikan proses penyampaian maklumat ini lebih sukar.
Hakikatnya, pekebun sawit dan pegawai pertanian kini mempunyai akses kepada Internet. Mereka mampu menyebarkan informasi melalui Internet dalam berkongsi seagala keperluan tentang kepentingan dalam memahami sesuatu isu sealiran dengan kelangsungan pembangunan industri pertanian kelapa sawit (Potter, 2019). Justeru, pendedahan tentang teknik menyampai dan menyediakan maklumat-maklumat ini adalah salah satu keperluan yang tidak dapat disangkalkan lagi oleh semua pekebun sawit / pegawai pertanian. Rentetan daripada itu, pembangunan asas penggunaan teknologi sedia ada dalam pembangunan industri kelapa sawit akan menjadi asas yang kukuh dalam menyediakan ruang kepada pekebun sawit dan pegawai pertanian ini untuk menajamkan kemahiran mereka bagi memenuhi tuntutan semasa dalam proses menyedia dan menyampaikan maklumat yang berkesan kepada anggota masyarakat sealiran dengan perkembangan teknologi dan corak pemikiran semasa (Mohd. Nor Shahizan & Neesa Ameera, 2019).
Tidak kurang juga ekoran daripada perubahan industri (terutamanya bidang teknologi maklumat) dalam era 4th IR telah secara langsung mencorakkan perubahan hardware dan software dalam arena ruang lingkup industri pertaniaan secara khusus. Perubahan ini amat ketara dan membawa impak yang sangat besar sama ada kepada industri pertanian (termasuk pekebun sawit dan pegawai pertanian) mahupun ke atas corak penerimaan anggota masyarakat ke atas maklumat dalam industri kelapa sawit di peringkat global. Kecepatan dan ketepatan maklumat menjadi intipati kepada kejayaan atau kegagalan sesuatu maklumat tersebut dalam penilaian anggota masyarakat. Terlalu banyak sumber yang menjadi platform dalam menyampaikan maklumat menjadikan ruang tugas pekebun sawit dan pegawai pertanian lebih mencabar dalam proses menyebarkan maklumat sama ada berbentuk pemasaran mahupun perkembangan industri tersebut secara khusus. Lantaran itu, modul dan proses latihan di peringkat asas adalah menjadi titik tolak utama dalam membina konteks dan konsep cara kerja dalam menangani corak penerimaan anggota masyarakat ke atas keseluruhan keefisyenan industri kelapa sawit secara khusus.
Antara lain, perubahan sistem teknologi dan penggunaannya juga menjadi asas yang kukuh untuk membina corak latihan yang sealiran dengan kecanggihan platform industri (terutamanya pertanian) yang bersifat global. Proses kajian dan latihan ini adalah sealiran dengan saranan daripada pihak kerajaan yang menggalakkan penggunaan teknologi sebagai bahan penyebaran ilmu. Oleh itu, cadangan kajian ini adalah untuk menilai keefisyenan dalam membina modul latihan dalam menyediakan pekebun sawit dan pegawai pertanian agar dapat menjalankan tugas hakiki mereka secara optimum dengan menggunakan kemampuan teknologi sedia ada dan dapat mencapai sasaran penyampaian kepada anggota masyarakat. Modul yang akan dibina i) MODUL Digital Technology & Measurement – iaitu melibatkan informan yang terdiri daripada Pegawai MPOB; ii) MODUL Kursus Penerbitan Dokumentari Pertanian Kelapa Sawit – iaitu melibatkan pekebun-pekebun kelapa sawit; iii) MODUL Mobile Journalism (MOJO) – iaitu melibatkan staf dari MPOB dan pekebun kelapa sawit terpilih. Proses kajian ini dijalankan dengan kaedah kualitatif (iaitu pendekatan perbincangan kumpulan fokus dan temubual mendalam).