Pembentukan Ekosistem Produktiviti Pengeluaran Sawit dalam Mengatasi Masalah Kekurangan Buruh yang Meruncing

Cluster Research Grant, 2020

Abstract

Industri sawit adalah tonggak sektor pertanian negara dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KPNK). Pekebun kecil merupakan nadi pembangunan dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara khususnya dalam industri kelapa sawit Negara. Kerajaan Malaysia telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu pekebun kecil sawit, termasuklah penggunaan teknologi dalam pertanian kebun sawit. Industri sawit negara masih ada yang berorientasikan buruh terutamanya bagi aktiviti penuaian dan pembajaan. Namun masalah kekurangan tenaga buruh dalam industri sawit dan kekurangan pekerja yang berkemahiran dalam bidang teknologi menyebabkan pengurangan produktiviti dan kecekapan. Oleh itu objektif penyelidikan adalah untuk mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan masalah kekurangan buruh yang meruncing bagi pekebun-pekebun kecil sawit, menganalisis kesan kekurangan buruh terhadap produktiviti pekebun kelapa sawit dan mencadangkan rangka kerja ekosistem strategi yang sesuai dengan keperluan bagi meningkatkan produktiviti sawit. Pengumpulan data kajian ini adalah melibatkan kaedah kualitatif sepenuhnya. Dalam kajian ini, populasi sasaran kajian penyelidik adalah terdiri daripada pekebun kecil kelompok penanam sawit mapan (SPOC) di Bakong Marudi Sarawak. Saiz sampel terdiri daripada 15 orang responden yang merupakan pekebun kecil di Bakong Marudi Sarawak yang dipilih secara bertujuan untuk ditemubual secara kaedah tebual mendalam. Penemuan kajian akan melihat pemboleh ubah bagi tiga komponen keupayaan dinamik iaitu teknologi inovatif, penyesuaian dan penerapan adalah pembentukan strategi yang sesuai dengan keperluan semasa dan akan datang dalam meningkatkan produktiviti sawit. Penerapan yang kukuh tiga-tiga komponen ini dalam pembentukan ekosistem produktiviti pengeluaran sawit akan menyediakan asas yang baik dalam keupayaan penyesuaian dan teknologi inovatif. Keupayaan penyesuaian pembaharuan yang baik membolehkan industri sawit untuk melakukan proses penambahbaikan dan menjana hasil produk yang baru. Secara tidak langsung penggunaan teknologi moden dapat mengatasi masalah kekurangan buruh dijangka mampu meningkatkan produktiviti serta menambah pendapatan.

Project Leader

Zurinah Tahir (Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), zurinahtahir@ukm.edu.my)