MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Impak dan Keperluan Buruh Aisng terhadap Sektor Sawit di Malaysia

Research Grant, 2020

Abstract

Keperluan tenaga kerja asing di sektor kelapa sawit negara sememangnya tidak boleh dinafikan. Sungguhpun buruh asing sebagai tenaga kerja menjadi isu kepada pelbagai pihak (kerajaan, majikan, masyarakat dan pihak pekerja sendiri), namun sektor perladangan dan pekebun kecil kelapa sawit amat bergantung kepada tenaga kerja mereka. Justeru itu, pergantungan sektor ini terhadap buruh asing kian meningkat dari tahun ke tahun. Dianggarkan, jumlah buruh asing di sektor ini sahaja mencecah setengah juta orang (498,358 orang), mewakili 23% daripada jumlah keseluruhan buruh asing (2.2 juta orang) pada 2019. Jumlah ini adalah yang kedua tertinggi selepas sektor pembuatan (514,845 orang) yang mewakili 24% daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja asing di negara ini. Oleh kerana pergantungan sektor ini terhadap pekerja asing adalah tinggi, maka penglibatan mereka menjadi suatu keperluan yang berterusan kerana mendapat permintaan daripada majikan/pengusaha. Ditambah dengan situasi dan suasana kerja yang realitinya bersifat 3D, iaitu susah, kotor dan berbahaya, maka pekerja tempatan kurang berminat untuk bekerja. Berasaskan permasalahan yang wujud, amatlah penting dan rasional untuk menjalankan kajian terhadap buruh asing di sektor kelapa sawit. Ini bertujuan menentukan sejauh manakah tenaga kerja asing memberi impak terhadap ekonomi dan pasaran buruh negara di samping memastikan sektor kelapa sawit negara terus kekal menyumbang kepada produktiviti, eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Secara umum, objektif kajian ini ialah mengkaji impak tenaga kerja asing terhadap prestasi makroekonomi dan sektor kelapa sawit, di samping menganalisis keperluan tenaga kerja asing di sektor tersebut. Objektif khusus kajian ialah: Pertama, mengkaji impak buruh asing terhadap prestasi makroekonomi, prestasi sektor/firma dan impak terhadap pasaran buruh negara. Kedua, menganalisis sejauh manakah keperluan tenaga kerja asing di sektor ini. Ketiga, mencadangkan beberapa strategi dalam mengurus buruh asing yang lebih terancang bagi keperluan sektor.

Project Leader