Aplikasi Penggunaan Teknologi Mekanisasi dan Automasi bagi Pekebun Kecil Sawit (Tekno Sawit)

Research Grant, 2023

Abstract

Isu kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan sawit telah menjejaskan operasi dan seterusnya mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi negara. Kebergantungan yang tinggi kepada buruh asing ini bukan sahaja melibatkan syarikat perladangan, namun ianya juga menjadi isu bagi pekebun kecil sawit negara. Antara inisiatif yang boleh diketengahkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan tenaga buruh asing di samping membantu meningkatkan produktiviti adalah dengan penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi perladangan seperti pemotong sawit bermotor, kenderaan utiliti perladangan dan sebagainya (Shuib et al. 2011). Maka, adaptasi teknologi mekanisasi dan automasi adalah elemen utama yang perlu dipertingkatkan penggunaannya bagi sektor industri sawit. Walau bagaimanapun, pendedahan maklumat berkaitan teknologi mekanisasi dan automasi sawit secara berpusat dan bertsruktur masih terhad (Muhammad Yusri Muzamir 2021). Hal ini memberi impak kurang pendedahan penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi kepada pekebun kecil sawit seterusnya memberi kesan kepada implementasi penggunaan teknologi ini secara praktikal dalam sektor perladangan sawit. Justeru, tujuan kajian adalah untuk membangunkan aplikasi Tekno Sawit melalui satu platform mudah alih yang menyediakan maklumat bermodul tentang penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi sawit bagi sasaran pekebun kecil sawit. Platform mudah alih dipilih sebagai medium penyebaran maklumat kerana penggunaan telefon pintar pada masa kini adalah lebih mudah dan pantas bagi semua peringkat umur pengguna. Kaedah pembangunan aplikasi Tekno Sawit ini menggunakan adaptasi model Agile melibatkan fasa analisis keperluan, reka bentuk, pembangunan, pengujian dan maklum balas. Hasil kajian ini dijangka dapat mereka bentuk, membangun dan mengenal pasti kebolehgunaan aplikasi penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi sawit (Tekno Sawit) dalam kalangan sasaran pengguna pekebun kecil sawit. Implikasi pembangunan aplikasi Tekno Sawit ini memberi impak kepada agensi sawit negara di mana maklumat berkaitan teknologi mekanisasi dan automasi secara berpusat melalui satu platform mudah alih dibangunkan bagi memberi pendedahan pengetahuan dan kemahiran pekebun kecil sawit.

Project Leader