Analisis Kemahiran Keusahawanan Desa bagi Pembentukan Model Pemangkin Pendapatan Pekebun Kecil Kelapa Sawit (PKS)

Cluster Research Grant, 2020

Abstract

Kejatuhan harga sawit mentah dan kejatuhan eksport sawit ke luar negara sejak tahun 2019 telah memberikan kesan negatif kepada pendapatan pekebun kecil kelapa sawit (PKS) di Malaysia. Selaras dengan itu, terdapat berbagai cadangan dan program peningkatan pendapatan PKS telah disarankan oleh pengamal industri kelapa sawit dan pihak kerajaan Malaysia. Golongan PKS disarankan supaya beralih kepada penanaman buluh sebagai tanaman alternatif kelapa sawit untuk meningkatkan pendapatan mereka. Galakan tersebut telah dikemukakan oleh Menteri Industri Utama pada tahun 2019 dengan penyediaan pinjaman mudah berjumlah RM10,000 setiap hektar dengan bayaran balik apabila pinjaman itu matang dalam tempoh tujuh tahun (BH Online, 2019). Selain itu, PKS juga dianjurkan agar terlibat dengan aktiviti ekonomi desa seperti menjalankan aktiviti penternakan lembu, kambing dan kerbau; penanaman sayur-sayuran; tanaman buah-buahan; dan juga terlibat dengan industri desa berasaskan kelapa sawit dan sumber tempatan (Azman et al 2003; Kushairi et al 2019). Terkini, PKS juga disarankan agar menceburi sektor agro-pelancongan yang dilihat mempunyai potensi penghasilan pendapatan yang baik dan kos perlaksanaan yang rendah (Kalsom et al, 2020).

Oleh demikian, kajian fundamental ini bertujuan menganalisis kemahiran keusahawanan desa berdasarkan Model Kemahiran Keusahawanan Desa oleh Pyysiäinen et al (2006) sebagai asas kepada perancangan, pengenalpastian dan perlaksanaan aktiviti ekonomi desa untuk memangkin pendapatan pekebun kecil kelapa sawit di Malaysia. Kajian ini dilaksanakan menerusi pendekatan kualitatif dan kuantitatif dengan mengenalpasti kemahiran keusahawanan desa dalam kalangan PKS yang sedang menjalankan aktiviti keusahawanan di Negeri Sembilan, Selangor dan Perak. Ketiga-kita negeri tersebut merupakan negeri yang mempunyai jumlah PKS teramai di Semanjung Malaysia (MPOC, 2020) dan berada dalam keadaan geografi yang berdekatan dengan Lembah Klang yang memungkinkan wujudnya banyak peluang keusahawanan desa dapat dilaksanakan oleh PKS.

Project Leader

Ahmad Raflis Che Omar (Faculty of Economics and Management, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), raflis@ukm.edu.my)