MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Faktor-Faktor Penentu Kelangsungan Integrasi Sawit dalam Kalangan Pekebun Kecil Sawit: Kajian Kes di Negeri Sabah

Research Grant, 2016

Abstract

Usaha meningkatkan produktiviti pengeluaran dan pendapatan pekebun kecil sawit merupakan satu cabaran besar kepada Kerajaan Malaysia. Pelbagai strategi dan insentif melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk meningkatkan produktiviti sektor pekebun kecil sawit telah dilaksanakan. Malahan kerajaan turut menetapkan sasaran peningkatan pendapatan pekebun kecil sawit sekurang-kurangnya ke paras RM4,000.00 sebulan menjelang tahun 2020 yang berbaki 4 tahun sahaja lagi. Sebagai usaha memenuhi matlamat tersebut, program integrasi sawit telah diperkenalkan dan dilaksanakan oleh MPOB sejak RMK-9. Program integrasi sawit adalah satu program yang mengintegrasikan tanaman sawit bersama aktiviti ekonomi lain, seperti penternakan lembu, kambing dan tanaman lain. Persoalannya, sejauhmana integrasi sawit diamalkan oleh pekebun kecil sawit dan apakah faktor-faktor yang mempengaruhi mereka untuk mengamalkan dan meneruskan amalan integrasi sawit tersebut. Justeru, kajian ini akan menganalisis faktor-faktor penentu yang mempengaruhi amalan dan kelangsungan amalan integrasi sawit dalam kalangan pekebun kecil sawit. Kajian ini adalah satu kajian kuantitatif yang akan menggunakan pendekatan kerja lapangan. Instrumen kajian adalah borang soal selidik yang mengandungi tiga bahagian utama, iaitu maklumat latar belakang pekebun, maklumat amalan integrasi sawit dan maklumat faktor-faktor mempengaruhi amalan integrasi. Borang kaji selidik akan diedarkan kepada pekebun kecil sawit yang melaksanakan program integrasi sawit sahaja. Teknik pemilihan sampel yang akan diaplikasikan dalam kajian adalah persampelan bertujuan. Sasaran sampel ialah 200 orang pekebun kecil sawit yang melaksanakan integrasi sawit (ternakan, tanaman atau kedua-duanya). Jangkaan hasil kajian ialah model kelangsungan integrasi sawit dalam kalangan pekebun kecil sawit. Kajian ini penting bagi mengenalpasti faktor-faktor signifikan yang mempengaruhi kelangsungan sawit dalam kalangan pekebun kecil sawit.

Project Leader

Zaimah Ramli (Faculty of Social Sciences and Humanities, zaimah@ukm.edu.my)