MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Financing and Gender Analysis in Oil Palm Sector

Cluster Research Grant, 2014

Abstract

Objektif utama kajian ini adalah untuk menganalisis pengaruh gender dalam aktiviti integrasi tanaman campuran dan ternakan dalam ladang kelapa sawit bagi meningkatkan produktiviti pekebun kecil. Fokus kajian tertumpu kepada pekebun kecil sokongan yang menerima bantuan Skim Tanaman Semula (TSSPK) oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berdasarkan data penerima bantuan pada tahun 2015. Kajian ini menggunakan kaedah pendekatan tinjauan menerusi soal kaji selidik berpandukan sebanyak 147 borang kaji selidik yang diperolehi berdasarkan teknik persampelan rawak daripada jumlah populasi pekebun kecil di Selangor sebanyak 238 orang. Hasil kajian dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif dan logistik melalui jadual, kekerapan, min.

Keputusan kajian mendapati bahawa perlaksanaan aktiviti integrasi tanaman campuran dan ternakan dalam ladang kelapa sawit berupaya meningkatkan produktiviti pekebun kecil kelapa sawit di Selangor. Namun begitu, kajian mendapati bahawa penglibatan gender khusunya wanita di dalam aktiviti pertanian sawit tidak mempunyai peranan yang signifikan dalam meningkatkan produktiviti pekebun kecil. Namun, peranan gender begitu menonjol di dalam aktiviti integrasi iaitu dalam bahagian pengurusan seperti penyimpanan rekod penjualan, pemilihan benih, mendapatkan bantuan input dan pembiayaan selain daripada aktiviti kasar seperti memberi makan minum, memberi rawatan kepada haiwan ternakan, membaja dan meracun rumpai di sekitar kawasan tanaman. Peratusan penglibatan gender dalam pertanian integrasi adalah lebih tinggi berbanding dalam aktiviti pertanian sawit. Peratusan penglibatan wanita dalam aktiviti integrasi adalah lebih 80% berbanding 20% dalam pertanian sawit.

Kajian ini mencadangkan pihak MPOB membantu penerima bantuan TSSPK dalam mempelbagaikan aktiviti pertanian dalam kebun sawit melalui aktiviti integrasi ternakan dan tanaman campuran. Pekebun kecil menyedari potensi integrasi mampu mendatangkan keuntungan yang lumayan kepada mereka. Lebih 60% pekebun kecil berminat untuk mengusahakan aktiviti integrasi seperti tanaman dan ternakan. Namun begitu pekebun kecil menghadapi kekangan kewangan yang mana, Lebih 50% pekebun kecil berpendapat kos input tinggi bagi menjalankan aktiviti pertanian integrasi selain masalah serangan penyakit ke atas ternakan. Oleh itu, lebih 78% pekebun kecil berpendapat mereka memerlukan bantuan kewangan bagi membiayai aktiviti pertanian integrasi sekaligus membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil.

Project Leader

Muhammad Hakimi Mohd. Shafiai (Faculty of Economics and Management, hakimi@ukm.edu.my)