Impak Hakisan Percepat Pinggir Pantai terhadap Pengusaha Kelapa Sawit di Jajaran Pantai Batu Pahat, Johor

2015

Abstract

Salah satu impak pemanasan dunia adalah kenaikan aras laut. Kenaikan aras laut pula mempengaruhi proses geomorfologi pinggir pantai di mana berlaku hakisan percepat pinggir pantai. Impak seterusnya proses hakisan percepat pinggir pantai akan mempengaruhi aktiviti manusia yang berlaku di zon pinggir pantai. Dalam konteks Malaysia, pelbagai pembangunan berlaku di jajaran pinggir pantai. Salah satu daripada pembangunan tersebut adalah petempatan dan aktiviti pertanian yang wujud di bahagian belakang zon pinggir pantai.
Kajian ini memfokus pada kawasan penanaman kelapa sawit di sepanjang jajaran pantai di Daerah Batu Pahat, Johor. Jajaran pantai ini sedang mengalami hakisan pinggir pantai dan dijangka memberi impak kepada pengusaha kelapa sawit. Ini kerana kawasan penanaman kelapa sawit didapati terletak sangat hampir dengan jajaran pantai. Lanjutan daripada itu, proses hakisan percepat pinggir pantai yang berupaya memusnahkan kawasan penanaman kelapa sawit di sepanjang jajaran pantai Daerah Batu Pahat turut dijangka meninggalkan impak sosioekonomi kepada pengusaha kelapa sawit.
Sehubungan itu, kajian ini digerakkan bagi memperoleh maklumat mengenai para pengusaha kelapa sawit di sepanjang jajaran pantai Daerah Batu Pahat dan impak sosioekonomi ke atas para pengusaha kelapa sawit kesan daripada proses hakisan percepat pinggir pantai yang berlaku. Sejumlah 200 responden yang terdiri daripada para pengusaha kelapa sawit di sepanjang jajaran pinggir pantai Daerah Batu Pahat akan dipilih secara rawak. Proses mendapatkan data adalah menggunakan stu set soal selidik yang merangkumi profil responden dan ahli isi rumah responden serta kajian persepsi responden terhadap pekerjaan sebagai pengusaha kelapa sawit, serta juga implikasi daripada proses hakisan percepat yang berlaku di sepanjang pinggir pantai terhadap sosioekonomi mereka.
Kajian ini menjangkakan berlaku penurunan tahap kesejahteraan hidup dalam kalangan pengusaha kelapa sawit kesan daripada hakisan percepat pinggir pantai. Dapatan kajian ini dapat membantu pihak tertentu seperti MPOB, kerajaan tempatan dan kerajaan negeri serta pihak perancang pembangunan sosioekonomi dalam membantu pengusaha kelapa sawit mengatasi masalah kesejahteraan hidup kesan daripada hakisan percepat pinggir pantai yang berlaku di kawasan mereka.

Project Leader

Mokhtar J (Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), )