Integriti Orang Tengah dalam Rantaian Pengeluaran Pekebun Kecil Kelapa Sawit
Abstract
Fenomena orang tengah bukan perkara baru dalam pemasaran komoditi pertanian (Quatey et al. 2012, Sandika 2011, Baritaux et al. 2006 dan Van Driel 2003). Orang tengah telah lama wujud dengan peranan tersendiri. Fenomena orang tengah turut wujud dalam sistem rantaian pengeluaran kelapa sawit pekebun kecil di Malaysia. Orang tengah sering dilabel sebagai menindas kerana dikatakan memberi tawaran tidak telus dan tidak adil kepada pekebun kecil. Meskipun begitu isu yang menarik perhatian pengkaji ialah fenomena orang tengah dalam rantaian pengeluaran pekebun kecil kekal disebabkan pekebun kecil kelapa sawit sendiri menghargai peranan orang tengah dan mewujudkan permintaan ke atas khidmat serta peranan orang tengah. Dalam konteks kajian etika aplikasi (applied ethics), sesuatu perkara harus dinilai dengan teliti berdasarkan prinsip etika sebelum rumusan baik atau buruk sesuatu itu dapat ditentukan. Justeru fenomena orang tengah penting dinilai menurut perspektif dan penilaian pekebun kecil terlibat. Kajian ini adalah sebuah kajian penerokaan (exploratory) dan dijangka menghasilkan penemuan deskriptif mengenai integriti orang tengah. Secara khusus objektif kajian terdiri daripada (1) mendeskripsi bentuk penglibatan/peranan orang tengah; (2) menganalisa sifat hubungan antara pekebun kecil dan orang tengah; dan (3) menganalisa implikasi daripada peranan orang tengah. Metodologi kajian akan menggunakan teknik temubual mendalam dan kumpulan fokus bagi mendapat maklumat mendalam mengenai isu kajian. Temubual akan dijalankan dengan 15 orang responden pekebun kecil dan pemilihan mereka dibuat berasaskan teknik persampelan tidak berkebarangkalian jenis snowball. Analisa data melibatkan huraian dan pengenalpastian tema mengikut asas rangka model kajian. Di samping itu pandangan mengenai perkara yang sama akan diperolehi daripada sampel orang tengah supaya dapat mencapai rumusan mengenai sifat hubungan orang tengah-pekebun kecil samada saling melengkapi, saling menyokong atau pun menindas. Kajian ini dijangka dapat mengemukakan input mengenai faktor penarik yang menyebabkan peranan orang tengah dihargai oleh pekebun kecil. Tarikan tersebut dijangka dapat dipastikan dengan melihat kepada bentuk penglibatan/peranan orang tengah, sifat hubungan dan faedah ekonomi-sosial yang dinikmati oleh pekebun kecil. Di samping itu rumusan menyeluruh mengenai integriti orang tengah dapat dikenalpasti melalui sinergi analisis faktor penarik dan persepsi pekebun kecil terhadap amalan urusniaga orang tengah. Kajian sebegini penting kerana ia dapat memberi input untuk menambah baik dasar berkaitan orang tengah dengan mengambil kira perspektif pekebun kecil sendiri.