Latihan bagi Meningkatkan Pengetahuan, Kesedaran dan Tanggungjawab Cukai Kepada Para Pekebun Kelapa Sawit di Selangor

Research Grant, 2021

Abstract

Tahap pengetahuan cukai dalam kalangan rakyat Malaysia umumnya adalah rendah meskipun sistem cukai di Malaysia telah mengalami reformasi cukai mulai tahun 2001 yang mana sistem taksir sendiri (STS) diperkenalkan menggantikan sistem formal yang diamalkan sejak tahun 1967. Perubahan ini telah membawa satu fenomena baru yang mana semua pembayar cukai perlu memilik pengetahuan cukai yang baik dan mencukupi untuk memenuhi tanggungjawab cukai mereka setiap tahun. Kegagalan pembayar cukai untuk melaksanakan tanggungjawab cukai akan menyebabkan mereka dikenakan penalti yang tinggi dan ini sekaligus meningkatkan beban kewangan mereka. Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak kepada pembayar cukai individu, malahan juga pembayar cukai syarikat.

Justeru, kajian ini bertujuan untuk memberikan latihan dan pendedahan bagi meningkatkan pengetahuan cukai serta kesedaran tanggungjawab sebagai pembayar cukai dalam kalangan pekebun sawit di Selangor. Para pekebun sendiri merasakan bahawa mereka tidak perlu membayar cukai atau melaporkan pendapatan mereka kepada LHDN.

Memiliki kesedaran cukai awal serta pengetahuan cukai yang baik mampu mengelakkan mereka dikenakan penalti cukai yang tinggi jika suatu hari nanti pihak LHDN melakukan aktiviti audit cukai secara besar-besaran dan tumpuan mereka pada waktu itu adalah kepada para pekebun sawit ini. Jika perkara ini berlaku, maka sudah pasti akan ramai pesawit yang terbeban dengan tunggakan cukai yang tinggi jika mereka didapati melanggar undang-undang cukai.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pesawit ini dikenakan tunggakan dan penalti cukai yang tinggi pada masa hadapan, kajian ini adalah penting untuk memberikan kesedaran dan meningkatkan pengetahuan kepada pesawit supaya mereka tidak terjerumus ke dalam aktiviti pelarian cukai.

Kajian ini akan dijalankan menggunakan pendekatan latihan, ceramah dan perbincangan. Responden kajian terdiri daripada pesawit yang berada di sekitar Negeri Selangor sahaja. Sasaran responden ialah sekitar 200.

Project Leader

Mohd Rizal Palil (Faculty of Economics and Management, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), )