Pembentukan Modul Kearifan Tempatan Terhadap Peningkatan Motivasi dalam kalangan Generasi Ketiga dan Keempat Pekebun Kecil Kelapa Sawit untuk Menggalakkan Generasi Baru untuk Berkhidmat di Industri Sawit

Research Grant, 2022

Abstract

Demografi, taraf pendidikan dan pekerjaan adalah asas kepada peningkatan kualiti hidup manusia dan juga faktor penting yang menentukan pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara. Hubungan positif yang wujud antara kesemua pembolehubah perantara tersebut boleh mewujudkan perbezaan dalam mobiliti sosial dalam kalangan pekebun kecil kelapa sawit. Hubungan tersebut juga boleh menjadi dasar utama kepada kebergantungan generasi muda dalam kebolehpasaran kerjaya sektor formal yang semakin sengit persaingannya. Walaupun generasi ketiga dan keempat pekebun kelapa sawit dilihat mewarisi empayar penanaman daripada generasi pertama dan kedua mula mendapatkan hasil tanaman berganda, namun peningkatan mobiliti sosial masih berlaku dalam kadar yang perlahan (menegak dan mendatar). Generasi ketiga dan keempat ini merupakan kumpulan anak dan cucu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam perladangan. Berdasarkan cadangan kajian di daerah Kota Tinggi, Johor. Pertama, untuk mengenalpasti generasi ketiga dan keempat pekebun kecil kelapa sawit daripada perspektif pembangunan manusia dan kedua, untuk menilai keberkesanan peranan perkembangan industri sawit dalam membaiki status sosioekonomi generasi pertama dan kedua. Manakala ketiga untuk menganalisis impak pemindahan ilmu pengetahuan/kemahiran moden melalui MPOB dan tradisi secara kearifan tempatan terhadap produktiviti/pendapatan, kesejahteraan keluarga dan sosial pekebun kecil serta mencadangkan modul kearifan tempatan bagi meningkatkan motivasi kendiri dalam bidang kelapa sawit bagi generasi ketiga dan keempat dan seterusnya dalam kalangan pekebun kecil kelapa sawit pada masa akan datang. Modul kandungan akan memberi petunjuk kepada pihak berkepentingan terutamanya kepada MPOB, Koperasi pekebun kecil (pinjaman), pekebun kecil dan juga agensi lain yang terlibat secara tidak langsung seperti FELCRA bagi mngetengahkan kearifan tempatan generasi pertama dan kedua. Ia juga bertujuan memperkasa dan meningkatkan motivasi generasi ketiga dan keempat untuk terlibat dalam mengubah taraf dengan pelbagai inovasi yang boleh dilakukan bersandarkan kearifan tempatan. Kepentingan output projek ialah kepada pekebun kecil sawit dan juga pihak MPOB bagi memperkasa motivasi dan minat generasi baru untuk turut serta dalam aktiviti perladangan.

Project Leader