Pemerkasaan Ekonomi Belia Orang Asli: Kajian Kes di Kampung Orang Asli Mai, Jerantut, Pahang

2015

Abstract

Terdapat banyak kajian tentang belia dan pemerkasaan belia dalam kalangan masyarakat arus perdana. Tetapi, kurang terdapat kajian tentang pemerkasaan belia Orang Asli, lebih-lebih lagi kurang kajian dilakukan terhadap pemerkasaan belia Orang Asli dalam sector pekebunan kelapa sawit.
Pembangunan luar Bandar perlu memberi tumpuan terhadap pembangunan belia dari segi modal insan khususnya dalam kalangan kelompok minoriti. Perkara ini perlu dijadikan agenda pembangunan ekonomi Negara bagi memastikan belia kelompok minoriti ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan seterusnya terjebak dalam masalah sosial dan mengurangkan kebergantungan Negara terhadap buruh asing dalam sector pertanian. Salah satu sektor pertanian yang berkembang pesat ialah sektor kelapa sawit di Malaysia. Malangnya, sesetengah belia daripada kelompok minoriti seperti komuniti Orang Asli tidak dapat turut serta sepenuhnya dalam sektor kelapa sawit akibat daripada kurang pendedahan, kurang berpengetahuan, pandangan streotaip daripada pihak industry kelapa sawit, mempunyai tahap pendidikan yang lemah dan kejutan budaya akibat daripada proses penempatan semula. Walaubagaimanapun, sejauhmanakah kebenaran persoalan-persoalan ini masih lagi belum dibuktikan secara empirikal. Dalam masa yang sama, timbul juga persoalan yang menyatakan bahawa persepsi Orang Asli terhadap sektor kelapa sawit adalah tidak baik kerana dikatakan kelapa sawit membawa kepada penghapusan budaya dan nilai kehidupan mereka. Keadaan ini kemudiannya dikatakan menyebabkan tahap penyertaan mereka dalam sector ini masih lagi dalam peratusan yang sangat kecil, sedangkan perkembangan sector kelapa sawit melibatkan kawasan penempatan kampong mereka.
Lantas, kemusykilan kajian ini adalah untuk memahami peluang dan cabaran ekonomi yang dihadapi oleh belia Orang Asli dalam sector kelapa sawit. Sehubungan dengan ini, kajian ini akan mengemukakan saranan strategi yang dapat memperkasakan belia Orang Asli ini.

Project Leader

Vivien Yew Wong Chin (Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), vivienyew@ukm.edu.my)