Penganggaran Berstokastik terhadap Keselamatan Pendapatan Pekebun Kecil Kelapa Sawit dengan Kaedah Simulasi Monte Carlo
Abstract
Perkembangan industri kelapa sawit di Malaysia sangat membanggakan. Penanaman kelapa sawit melalui pihak-pihak seperti FELDA, FELCRA dan RISDA berjaya menjana pendapatan di atas Paras Garis Kemiskinan (PGK) khususnya kepada pekebun kecil dan peneroka. Daripada keseluruhan kawasan penanaman kelapa sawit di Malaysia, pekebun kecil dan peneroka FELDA memiliki kawasan sebanyak 14% dan 13% masing-masing (sehingga Disember 2013). Peratusan ini merupakan peratusan kedua dan ketiga terbesar selepas kawasan yang dimiliki oleh estet swasta (62%). Namun begitu, harga buah tandan segar (BTS) yang tidak stabil dikhuatiri menggugat pendapatan golongan ini, terutamanya pekebun kecil. Ini disebabkan oleh penurunan drastik harga komoditi ini di pasaran dunia dan penurunan permintaan daripada negara-negara pembeli. Di samping itu, pekebun kecil juga mengalami masalah keengganan pengilang membeli buah kelapa sawit. Oleh itu, pekebun kecil tidak dapat menjual hasil sawit mereka, seterusnya menjejaskan lagi pendapatan yang diperoleh oleh golongan ini. Pekebun kecil juga berhadapan dengan masalah harga barangan asas yang meningkat, harga baja yang tinggi dan cukai jualan yang dikenakan terhadap minyak sawit mentah (CPO). Berdasarkan situasi ini, adalah wajar untuk menyiasat sama ada 1).pendapatan terperoleh pekebun kecil kelapa sawit mencukupi untuk membiayai perbelanjaan asas yang dialami terutama dalam situasi ketidakstabilan harga BTS; 2).pendapatan terperoleh pekebun kecil kelapa sawit mencukupi untuk menampung keperluan luar jangka (contingency) akibat daripada kematian pra matang, hilang upaya, penyakit kritikal dan simpanan hari tua. Seterusnya, kajian ini akan menganggar paras pendapatan yang selamat bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka (dapat menampung perbelanjaan (1) dan (2)) selari dengan turun naik harga BTS di pasaran. Data kajian akan diperolehi melalui soal selidik yang diedarkan kepada 50-100 orang pekebun kecil kelapa sawit yang telah dikenalpasti dengan kaedah pensampelan tidak berkebarangkalian (kuota). Data yang dikutip merangkumi maklumat demografi, pendapatan dan perbelanjaan pekebun kecil. Data-data terkumpul akan dianalisis menggunakan kaedah berstokastik iaitu kaedah simulasi Monte Carlo. Data yang terkumpul akan digunakan untuk mengenalpasti taburan yang bersesuaian pendapatan dan kos-kos yang berkaitan. Seterusnya analisis simulasi Monte Carlo dengan beberapa ribu lelaran akan dijalankan bagi mendapatkan anggaran pendapatan stokastik iaitu anggaran yang memberikan nilai dan juga kepastian nilai yang diperoleh. Hasil kajian ini diharapkan dapat memberi input kepada pihak-pihak berkaitan tentang masalah dan kebajikan pekebun kecil kelapa sawit terutamanya dari segi jaminan keselamatan pendapatan para pekebun kecil dalam merangka keperluan dana gemblengan yang berkonsepkan skim takaful kelompok dalam kalangan pekebun kecil.