MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Pengukuran Kesejahteraan Hidup berdasarkan Indeks Progres Sosial dalam Kalangan Pekebun Kecil Kelapa Sawit

2015

Abstract

Industri minyak kelapa sawit merupakan salah satu penggerak utama ekonomi Malaysia yang sentiasa berdepan dengan cabaran di peringkat global. Dalam konteks ini, MPOB yang merupakan sebuah agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri kelapa sawit Malaysia sentiasa komited dalam mencapai misi utamanya. Namun, kelestarian kemajuan kehidupan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit menjadi tanda tanya. Apabila harga komoditi meningkat, kehidupan mereka dikatakan mewah, sebaliknya kehidupan mereka menjadi sengsara apabila harga komoditi menjunam turun. Justeru, perlunya satu kajian dilakukan bagi mengenalpasti tahap kemajuan dan kesejahteraan pekebun kecil kelapa sawit, kesan daripada pembangunan dalam industri kelapa sawit Malaysia. Pengukuran dibuat berdasarkan Indek Progres Sosial, yang mengukur kesejahteraan melampaui pendekatan konvensional berasaskan pendapatan. Penggunaan Indeks Progres Sosial (Social Progress Index-SPI) merupakan satu kerangka pengukuran alternatif tahap kemajuan dan kesejahteraan ke arah pembangunan lestari, dengan penekanan kepada outcome sosial strategi-strategi pembangunan. Dalam hal ini, Indeks Kemajuan Sosial ditakrifkan sebagai satu indeks menilai keupayaan sesebuah komuniti memenuhi keperluan asas warganya, menyediakan mekanisme yang membolehkan semua warganya berkembang dan melestarikan kualiti hidup, serta mencipta asas bagi setiap individu mencapai potensi penuh mereka. Kajian dilakukan secara kuantitatif berdasarkan borang soal-selidik di dua buah daerah di Selangor, iaitu Hulu Langat dan Kuala Selangor, dengan jumlah responden sebanyak 560 orang. Selain itu, kajian berdasarkan maklumat sekunder dan temubual mendalam juga dilakukan. Tiga dimensi utama menjadi teras kepada indeks ini, iaitu Keperluan Asas Manusia; Asas Kesejahteraan dan Peluang. Kajian ini dijangka berupaya mengemukakan satu pendekatan alternatif dalam mempertingkatkan kualiti hidup sesebuah komuniti, tidak sahaja sebagai alat pengukuran tetapi sebagai satu catalyst dalam merangka strategi yang membolehkan pihak-pihak yang berkaitan bertindak dengan lebih menyeluruh, ke arah kelestarian kemajuan komuniti terlibat.

Project Leader

HAMZAH JUSOH (Faculty of Social Sciences and Humanities, )