Pergerakan Harga Kelapa Sawit Berdasarkan Faktor Kejutan Luaran dan Dalaman serta Kesannya ke atas Firma Berorientasikan Sawit dan Pertumbuhan Ekonomi Negara

Research Grant, 2018

Abstract

Malaysia merupakan negara pengeluar dan pengeksport kelapa sawit kedua terbesar di dunia. Pada tahun 2016, kelapa sawit merupakan penyumbang utama kepada KDNK bagi sektor pertanian negara iaitu menyumbang sebanyak 43.1 peratus berbanding sektor pertanian yang lain iaitu ternakan (11.6%), perikanan (11.5%), perhutanan dan pembalakan (7.2%) dan getah (7.1%). Hal ini menunjukkan kepentingan kelapa sawit sebagai komoditi utama negara yang menyumbang kepada pendapatan eksport sektor pertanian dan sekaligus menjana pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang. Justeru, kajian ini akan menggunakan kaedah ekonometrik siri masa yang terkini iaitu pendekatan VAR Berstruktur (SVAR) untuk melihat bagaimana perubahan harga kelapa sawit dipengaruhi oleh kejutan eksogenus dari luar negara dan dalam negara yang mempengaruhi permintaan dan penawaran sawit. Selain itu, untuk mengkaji impak perubahan harga kelapa sawit tersebut ke atas firma yang berorientasikan kelapa sawit, kajian ini akan menggunakan kaedah data panel yang melibatkan firma-firma yang tersenarai di Bursa Malaysia. Seterusnya, pengaruh harga kelapa sawit dan harga komoditi-komoditi lain seperti harga getah dan koko juga akan dianalisis untuk melihat kesannya ke atas pertumbuhan ekonomi dan sektor pertanian negara. Dapatan daripada kajian ini dijangka dapat merumuskan beberapa perkara penting yang amat berguna kepada penggubal dasar untuk merangka strategi baharu bagi melestarikan industri kelapa sawit negara pada masa hadapan.

Project Leader

Zulkefly Abdul Karim (Faculty of Economics and Management, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), zak1972@ukm.edu.my)