MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Perubahan Makroekonomi, Persaingan Harga dan Eksport Sawit Dunia

Research Grant, 2016

Abstract

Kajian ini dilaksanakan untuk menganalisis faktor perubahan makroekonomi dan persaingan harga kepada export sawit dalam kalangan negara pengeluar utama minyak sawit dunia. Kajian menggunakan data melibatkan 10 buah negara dalam tempoh masa daripada tahun 1987 hingga terkini. Data adalah data bulanan yang diambil daripada sepuluh buah negara pengeluar utama minyak sawit di Dunia. Negara tersebut adalah Indonesia, Malaysia, Thailand, Colombia, Nigeria, Ecuador, Honduras, Papua New Guinea, Ghana dan Guatemala. Bagi mengukur kesan perubahan makroekonomi dan persaingan harga terhadap export sawit, kajian ini menggunakan data export sawit, harga sawit dunia, harga export sawit tempatan, kadar tukaran mata wang, tahap digital ekonomi, keluasan tanaman dan barangan pengganti sebagai aspek perubahan makroekonomi manakala persaingan harga melibatkan interaksi antara perubahan kadar mata wang dan perubahan kuantiti sawit. Kajian ini menggunakan regresi panel data. Ujian kepegunan pemboleh ubah telah diuji dengan menggunakan ujian LLC, IPS dan ADF manakala kointegrasi telah diuji dengan menggunakan ujian Pedroni panel kointegrasi. Keputusan ujian kointegrasi Pedroni membayangkan kehadiran kointegrasi antara pemboleh ubah. Jangkaan daripada hasil kajian ini adalah dapat mengenal pasti hubungan faktor perubahan persaingan harga terhadap export sawit dunia. Di samping itu, faktor-faktor penentu makroekonomi yang mempengaruhi export sawit dunia dapat diselidiki. Dijangkakan, hasil daripada regresi ekonometrik akan menunjukkan bahawa harga sawit dunia, keluasan tanaman berhubungan positif dengan export sawit, manakala harga export sawit tempatan, persaingan harga, kadar tukaran mata wang dan barang pengganti berhubungan songsang dengan export sawit. Kajian ini sangat relevan dan penting untuk dilaksanakan pada masa kini memandangkan isu persaingan harga memainkan peranan yang besar, terutamanya setelah Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) pada bulan Februari 2016 yang lalu. Diharapkan dapatan kajian ini membantu pihak penggubal dasar negara serta pemain pasaran merangka strategi berkesan, khususnya bagi kelestarian industri sawit negara serta memperkukuhkan export negara secara secara amnya.

Project Leader

Aisyah Abdul Rahman (Faculty of Economics and Management, eychah@ukm.edu.my)