MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Potensi Pembiayaan Kewangan Islam dalam Penanaman Kelapa Sawit di Kalangan Pekebun Kecil

2015

Abstract

Wujud persoalan adakah tanaman kelapa sawit di Malaysia telah mencapai tahap optimum pengeluaran? Pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) bagi pekebun kecil adalah sekitar 13.0 hingga 14.5 t/ha/tahun sahaja, manakala pengeluaran negara bagi BTS adalah 20 t/ha/tahun sahaja dan jumlah keluaran ini masih boleh dipertingkatkan sehingga 30/t/ha/tahun. Ini menunjukkan masih terdapat ruang yang boleh dilaksanakan bagi mencapai tahap pengeluaran maksimum.
Peningkatan hasil keluaran pekebun kecil boleh ditingkatkan melalui penggunaan benih berkualiti dan teknik ‘amalan perladangan yang baik’. Kebanyakan dari pekebun kecil mempunyai masalah kewangan, maka kajian ini akan memberi fokus untuk meningkatkan kelestarian tanaman kelapa sawit dari sudut ekonomi melalui menyediakan pembiayaan untuk menampung kekurangan modal. Ini kerana kebanyakan institusi perbankan tidak berminat terlibat dalam industri berasaskan pertanian, seterusnya pekebun kecil hanya menggunakan sumber kewangan mereka sendiri dan jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung kos-kos bahan input.
Kaedah OLS akan digunakan berdasarkan data sekunder dari Laporan Tahunan Bank-Bank Islam di Malaysia dan Bank Negara Malaysia dari tahun 2006 – 2013 untuk menilai jumlah pembiayaan dikeluarkan dan tahap kemungkiran bayaran balik pembiayaan dalam sektor Pertanian. Manakala Dynamic model digunakan bagi mencadangkan pinjaman mikrokredit yang boleh dilaksanakan dalam menyalurkan pinjaman kepada pekebun kecil.
Jangkaan hasil penyelidikan ialah bank-bank Islam kurang berminat untuk menyediakan pembiayaan kepada sektor pertanian kerana risiko kemungkiran bayaran balik pinjaman adalah tinggi. Oleh itu pembiayaan mikrokredit dilihat sebagai alternatif terbaik yang boleh digunakan untuk membantu menampung kekurangan modal, kesannya akan meningkatkan hasil pengeluaran BTS seterusnya meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil.
Kepentingan kajian ialah membantu pembuat dasar menggunakan pendekatan pembiayaan mikroekonomi untuk bantuan tanaman semula dan pembelian input untuk meningkatkan hasil output BTS.

Project Leader

Muhammad Hakimi Mohd. Shafiai (Faculty of Economics and Management, hakimi@ukm.edu.my)