Program Khidmat Sokongan Untuk Pekebun Kecil Kelapa Sawit Di Daerah Jeli Dan Pasir Mas: Suatu Penilaian Terhadap Aspek Nilai Dan Sikap

Cluster Research Grant, 2014

Abstract

Industri minyak sawit Malaysia merupakan penyumbang ke empat terbesar kepada ekonomi Negara dan pada masa ini menyumbang sebanyak RM1,889 (8%) daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita. Industri ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada perladangan sehingga aktiviti hiliran. Sebahagian besar perkembangan industri ini dipacu oleh sektor swasta dan masih banyak tertumpu kepada industri huluan iaitu pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) di ladang, pemprosesan BTS di kilang, pelumatan isirong kelapa sawit dan aktiviti penapisan minyak sawit. Walaupun sokongan kerajaan pada masa kini disasarkan terutamanya kepada mempromosikan aktiviti hiliran dan membantu pekebun kecil persendirian. Industri sawit merupakan tunjang kepada ekonomi Malaysia dan menghadapi cabaran baru dalam era globalisasi secara berterusan. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebagai pemacu industri minyak sawit bertanggungjawab menyahut cabaran ini melalui kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan serta perkhidmatannya. Untuk tujuan tersebut, MPOB telah memperuntukkan sebanyak RM902 juta untuk tempoh 2011 hingga 2013 bagi membantu para pekebun kecil dalam penanaman kelapa sawit dan tanaman baharu komoditi itu. Bantuan sebanyak RM7,500 sehektar disediakan kepada peserta di Semenanjung manakala RM9,000 sehektar di Sabah dan Sarawak. Bantuan tersebut merangkumi bekalan anak benih sawit berkualiti, input pertanian seperti bekalan baja dan bahan kimia selain pengurusan tanaman mengikut Amalan Pertanian Baik bagi menentukan hasil sawit yang tinggi (Utusan Online, 2013). Di samping itu, MPOB melaksanakan program Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS). Sehingga kini 68,314 pekebun kecil telah menerima program ini yang bertujuan membantu pekebun kecil melaksanakan amalan pertanian modern dan berproduktiviti tinggi. Sebanyak 1,189 kuliah teknikal dianjurkan dan 16,898 lawatan tapak dilaksanakan sepanjang tahun (Laporan Tahunan PKS, 2012). Kerajaan telah meletakkan sasaran sumbangan kepada PNK yang tinggi bagi industri minyak sawit iaitu sebanyak kira-kira RM178.0 bilion pada tahun 2020 berbanding sumbangan kepada PNK masa kini sebanyak RM52.7 bilion. Pada masa yang sama, kerajaan akan memastikan supaya segala usaha bagi mencapai sasaran ini adalah sejajar dengan konsep “keterangkuman” dan “kemampanan”. Sejauhmana pekebun kecil ini dapat melibatkan diri dan menyahut cabaran tersebut? Nilai dan sikap adalah aspek penting yang harus dinilai sebagai sokongan untuk memastikan setiap program itu mencapai sasarannya.

Project Leader

Suhana Saad (Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), suhanasaad@ukm.edu.my)