Projek Penanaman Fertigasi Dalam Kalangan Pekebun Kecil Persendirian Di Bahagian Serian, Sarawak

Cluster Research Grant, 2024

Abstract

Permasalahan utama kajian ini ialah bagaimanakah hendak memastikan pekebun kecil persendirian boleh mempelbagaikan pendapatan secara holistik, inklusif dan berterusan tanpa bergantung sepenuhnya dengan hasil pengeluaran sawit. Dalam masa yang sama isu utama yang hendak diterokai dalam kajian ini ialah untuk memastikan agar para pekebun kecil persendirian mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar agar tanah tersebut digunakan dengan sepenuhnya. Objektif utama kajian ini ialah untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil persendirian dan membantu pekebun kecil persendirian membina jaringan dengan pasaran yang lebih terjamin melalui perjanjian MOU dengan beberapa pasaraya di bahagian Serian yang telah dikenalpasti melalui perbincangan kumpulan berfokus. Objektif kajian ini turut membantu memperkasakan para pekebun kecil persendirian dengan kaedah baru yang terkini melalui sistem pertanian fertigasi dengan kolaborasi bersama pihak MPOB yang akhirnya dapat melestarikan pendapatan mereka. Metodologi kajian ini dibahagikan kepada dua (2) pendekatan iaitu melalui pendekatan kualitatif (perbicangan kumpulan berfokus dengan Persatuan Fertigasi dan Hidroponik Bahagian Serian) dan pelaksanaan pelatihan kepada para pekebun kecil persendirian mengenai teknik fertigasi dan pengurusan tanaman serta memberi tunjuk ajar cara pemasangan sistem fertigasi dan pemantauan pertumbuhan tanaman. Sejumlah 5 (lima) orang pekebun kecil persendirian yang mengusahakan kebun kelapa sawit secara sepenuh masa akan terlibat dalam projek permulaan fertigasi ini. Kesemua sistem penanaman fertigasi ini adalah secara integrasi dalam kebun sawit dan modal permulaan projek fertigasi adalah tidak mendapat sebarang pembiayaan. Demografi pekebun kecil persendirian yang terlibat dalam kajian ini akan diperolehi daripada Persatuan Fertigasi dan Hidroponik Serian.

Dijangka pelaksanaan sistem fertigasi akan meningkatkan hasil tanaman dan mempelbagaikan pendapatan pekebun kecil persendirian. Berdasarkan temu bual mendalam dengan Persatuan Fertigasi dan Hidroponik Serian (2024), mereka menyatakan bahawa terdapat penambahan pendapatan sebanyak RM3,000.00 sekali tuaian dan ini dijangka membantu menjadikan mereka berjaya mendapat jumlah anggaran pendapatan bulanan sebanyak RM 5,000.00 hingga RM 8,000.00. Implikasi kajian ini termasuk peningkatan kemampanan ekonomi dan sosial dalam komuniti pekebun kecil persendirian, peningkatan kelestarian alam sekitar melalui penggunaan air dan input pertanian yang lebih cekap dan peningkatan kualiti hidup untuk pekebun kecil persendirian dan keluarga mereka. Output projek penyelidikan ini akan memberi panduan kepada pihak yang berminat, termasuk kerajaan, agensi pembangunan, dan organisasi pekebun kecil persendirian tentang keberkesanan dan kemampanan penanaman fertigasi dalam konteks pertanian persendirian di Bahagian Serian, Sarawak.

Dalam masa yang sama, hasil penemuan penyelidikan ini boleh membantu kerajaan merangka dasar yang komprehensif dan inklusif untuk meluaskan lagi bantuan Integrasi Tanaman kepada 5 (lima) pekebun kecil sawit ini sebagai asas dalam meneliti pulangan pelaburan melalui projek fertigasi. Di samping itu, ia juga membantu kerajaan dalam mereka bentuk dasar pertanian yang lebih berkesan, program sokongan dan inisiatif pembangunan komuniti yang berorientasikan kemampanan.

Project Leader

Novel Lyndon (Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), novel@ukm.edu.my)