MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Rekabentuk dan Pembangunan Dam Sawit Junior untuk Pendidikan Kelapa Sawit

Grant Category, Year:  Research Grant, 2020 

Abstract

Industri kelapa sawit merupakan komoditi pertanian yang memberi sumbangan yang terbesar kepada ekonomi Malaysia. Walau bagaimanapun, sektor pertanian kelapa sawit sering kali berhadapan dengan isu harga sawit yang tidak stabil, kekurangan tenaga buruh, pengeluaran hasil sawit yang rendah, sekatan perdagangan antarabangsa, demografi pekebun sawit yang semakin berumur dan kurangnya minat generasi muda terhadap perladangan kelapa sawit. Bagi meneruskan kelestarian sektor pertanian kelapa sawit, generasi muda masa kini yang berpendidikan haruslah dipupuk supaya mempunyai minat, kecenderungan dan tahap pengetahuan yang baik sebagai asas pertama untuk menceburkan diri dalam sektor berkenaan. Proses tersebut tentunya akan lebih mudah dilaksanakan melalui aktiviti pembelajaran dan pendidikan.

Pembelajaran adalah proses sepanjang hayat bagi generasi muda melalui kaedah formal dan tidak formal. Teori Pembelajaran Kognitif menjelaskan bahawa pendekatan kognitif dan aktiviti yang menekankan pada proses mental dalaman akan mempengaruhi pemikiran dan merangsang tindakan manusia. Selaras itu, menerusi aktiviti permainan yang sistematik dan bersasar akan berpotensi memotivasi dan melibatkan generasi muda ke arah pengalaman pembelajaran yang sahih dalam pelbagai konteks. Permainan terarah dan sistematik adalah bentuk permainan yang dilingkungi oleh peraturan, kompetitif dan bergantung kepada beberapa kemahiran seperti kemahiran perorangan, komunikasi dan mentafsir maklumat secara teratur. Untuk itu, pada masa kini, pendekatan gamifikasi merupakan teknik pendidikan yang sering digunakan untuk merangsang tingkah laku, pemahaman dan perubahan peribadi yang diingini di kalangan pemain.

Namun terdapat amat sedikit bukti impak gamifikasi yang dapat dikaitkan sebagai pendekatan pendidikan untuk pencapaian pemahaman dan tingkahlaku generasi muda dalam konteks pertanian seperti sektor kelapa sawit, getah, koko dan padi. Oleh itu, kajian ini bertujuan merekabentuk, membangunkan dan menguji permainan board games yang disebut sebagai Dam Sawit Junior bagi mencapai objektif untuk mendedahkan, menerapkan dan meningkatkan pengetahuan golongan muda (kanak-kanak dan belia) mengenai proses pertanian kelapa sawit di Malaysia.

Project Leader

Ahmad Raflis Che Omar (Faculty of Economics and Management, raflis@ukm.edu.my)