MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Sumbangan Koperasi Kepada Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil: Kajian Kes Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM)

Cluster Research Grant, 2014

Abstract

Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan dalam Dasar Wawasan 2020, dijangka berupaya merealisasikan Malaysia dari sebuah negara berpendapatan sederhana ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Bagi mencapai sasaran ini, antara Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) yang telah dikenal pasti menjadi sumber pertumbuhan pesat ekonomi adalah sektor minyak sawit. Sumbangan Pendapatan Negara Kasar (GNI) industri sawit dijangka melonjak dari RM53 bilion pada 2009 ke RM178 bilion menjelang 2020 (Choo Yuen May, 2011). Dari segi eksport sawit pula, didapati pendapatan bagi komoditi ini berjaya ditingkatkan kepada RM73.3 bilion pada tahun 2012 (Noor Asmawati, 2013) berbanding RM59.77 bilion pada tahun 2010 (Choo Yuen May, 2011). Pengeluaran Kelapa Sawit turut menjadi penyumbang KDNK tertinggi (36.5%) di sektor pertanian pada 2012 (Jabatan Perangkaan, 2013). Justeru itu, peningkatan produktiviti adalah antara langkah ke arah mentransformasikan industri sawit sebagai sektor ekonomi berpendapatan tinggi (Che Johari, 2011). Hal ini menunjukkan bahawa sektor pertanian yang kebanyakannya di luar bandar bukan sahaja berfungsi sebagai pembekal bahan mentah untuk keperluan sektor pembuatan malah boleh merangsang aktiviti sektor perkhidmatan dan dianggap sebagai perniagaan. Sehubungan dengan itu, adalah tidak menghairankan apbila kerajaan telah menetapkan sasaran kepada pekebun kecil sawit persendirian untuk menghasilkan 22 tan sehektar Buah Tandan Segar (BTS) menjelang tahun 2020 (Che Johari, 2011). Tujuan utama sasaran ini adalah meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar dan mengelak daripada kebergantungan terhadap bandar sebagi sumber pendapatan utama. Jadual 1.1 menunjukkan purata keluaran negara hanya 19 tan per hektar dan Kelantan mempunyai produktiviti terendah (11 tan per hektar) (MPOB 2014).Selaras dengan hasrat tersebut, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperuntukkan sebanyak RM902 juta untuk tempoh 2011 hingga 2013 bagi membantu para pekebun kecil dalam penanaman kelapa sawit dan tanaman baharu komoditi itu. Bantuan sebanyak RM7,500 sehektar disediakan kepada peserta di Semenanjung manakala RM9,000 sehektar di Sabah dan Sarawak. Bantuan tersebut merangkumi bekalan anak benih sawit berkualiti, input pertanian seperti bekalan baja dan bahan kimia selain pengurusan tanaman mengikut Amalan Pertanian Baik bagi menentukan hasil sawit yang tinggi (Utusan Online, 2013). Disamping pelbagai bantuan kepada pekebun kecil tanaman sawit, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah melaksanakan pelbagai program sokongan dalam bentuk nasihat dan teknikal serta institusi seperti Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS), Koperasi Penanaman Sawit Mapan (KPSM), Program Khidmat Sokongan, Program Integrasi Sawit dan sebagainya. Sehingga kini 68,314 pekebun kecil telah menerima program ini yang bertujuan membantu pekebun kecil melaksanakan amalan pertanian modern dan berproduktiviti tinggi. Sebanyak 1,189 kuliah teknikal dianjurkan dan 16,898 lawatan tapak dilaksanakan sepanjang tahun (Laporan Tahunan PKS, 2012). Persoalannya ialah sejauh mana ilmu pengetahuan/kemahiran yang disampaikan berjaya diterapkan oleh pekebun-pekebun kecil dan apakah dengan ilmu tersebut, berupaya meningkatkan produktiviti, pendapatan serta kualiti kehidupan pekebun-pekebun kecil berkenaan.

Project Leader

Sarmila Md Sum (Faculty of Social Sciences and Humanities, sarmila.mdsum@ukm.edu.my)