Keberkesanan Peranan Koperasi Pekebun Kecil Sawit: Analisis terhadap Aktiviti dan Pencapaian Tugas Pemerkasaan Ekonomi Pekebun Kecil

Research Grant, 2017

Abstract

kajian ini bertujuan meneliti keberkesanan koperasi pekebun kecil sawit sebagai medium meningkatkan sosio-ekonomi pekebun kecil sawit. Koperasi merupakan entiti yang sudah lama bertapak dalam sejarah peradaban manusia dengan peranan menjaga kepentingan sosio-ekonomi ahli. Koperasi membantu ahlinya melalui pemberian kredit, simpanan serta peluang penjanaan pendapatan tambahan menerusi pemilikan saham dan dividen. Namun begitu, amalan dan keupayaan koperasi membantu meningkatkan sosio-ekonomi ahlinya mungkin berbeza antara satu sama lain dan bergantung kepada konteks khusus masing-masing. Sehubungan itu, kajian ini mahu mengenalpasti aktiviti dan mengukur pencapaian koperasi pekebun kecil kelapa sawit khususnya dalam konteks peranan pemasaran bagi menghasilkan faedah maksimum kepada ahli. Kajian ini juga akan menganalisis cabaran dan kekangan dihadapi pihak pengurusan dalam melaksanakan / menyampaikan nilai khidmat terbaik kepada pekebun. Objektif kajian adalah (1) Mengenalpasti aktiviti dan strategi pengurusan koperasi untuk memperkasakan sosio-ekonomi pekebun kecil sawit; (2) Mengukur pencapaian koperasi dalam melaksanakan peranan pemasaran kepada pekebun kecil sawit dan faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan peranan itu; (3) Menghurai cabaran dan kekangan pengurusan dalam mengurus aktiviti memperkasa sosio-ekonomi pekebun; (4) Mencadangkan strategi dan dasar/polisi yang perlu diketengahkan melalui mekanisme koperasi ke arah memperkasa sosio-ekonomi pekebun kecil sawit khususnya dalam konteks pemasaran. Metod penyelidikan kajian terbahagi kepada dua (2) peringkat. Peringkat pertama melibatkan teknik temubual berstruktur dengan ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan koperasi. Data temubual akan dianalisis bagi mengeluarkan tema spesifik dan mencapai objektif pertama dan ketiga. Metod kedua akan melibatkan survei dengan pengurusan koperasi bagi mengukur perkaitan antara faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian prestasi koperasi seperti dalam objektif kedua. Unit analisis kajian ialah pengurusan koperasi pekebun sawit. Kajian ini akan menghasilkan kefahaman ilmu mengenai aktiviti, strategi, cabaran dan kekangan dalam operasi koperasi pekebun kecil kelapa sawit khususnya dalam konteks peranan pemasaran. Output projek dijangka berguna kepada MPOB dan kerajaan dalam merangka garis panduan dan persekitaran yang dapat memperkasa keupayaan koperasi menyampaikan khidmat dan faedah secara berkesan. Pada masa yang sama ia membantu pihak pengurusan koperasi menambahbaik keupayaan peranan koperasi dalam pemerkasaan taraf ekonomi pekebun. Laporan teknikal penyelidikan bakal memberi manfaat kepada semua pemegang taruh yang terlibat dalam urustadbir koperasi pekebun kecil sawit. Ini kerana laporan penyelidikan bakal mempersembahkan maklumat mendalam tentang, kekangan dan limitasi kepada aktiviti pemerkasaan dan identifikasi beberapa model perniagaan/urustadbir terbaik. Justeru ia dapat memberi panduan kepada lembaga pengarah dan pengurusan koperasi pekebun sawit untuk menambah baik governans dan pendekatan strategik koperasi supaya benar-benar dapat memperkasa sosio-ekonomi pekebun kecil. Pada masa yang sama, ia boleh memberi manfaat kepada pihak kerajaan (MPOB) terutama berkaitan aktiviti kawal selia koperasi dalam industri sawit supaya koperasi dapat berperanan dengan lebih berkesan.

Project Leader

Suraiya Ishak (Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), suraiya@ukm.edu.my)