Usahawan Ikon Pekebun Kecil Kelapa Sawit: Kajian Kes di Jerantut, Pahang dan Kota Tinggi, Johor

2015

Abstract

Sektor pertanian dan khususnya sektor sawit adalah salah sektor terbesar yang menyumbang dalam pendapatan negaraekonomi Malaysia. Sektor pertanian telah mengalami perkembangan yang sangat  pesat iaitu daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah  RM11.8 bilion pada 1970 telah meningkat_kepada RM709.3 bilion pada 2011(Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012). Namun begitu, sumbangan sektor pertanian mengalami penurunan dari 28.8 peratus pada 1970 berbanding 7.6 peratus pada 2010 dan meningkat kepada 7.7 peratus pada 2011. Purata sumbangan sektor pertanian kepada KDNK bagi tempoh 2007 hingga 2011 adalah 7.8 peratus. Pada tahun 2011, kelapa sawit merupakan komoditi utama sektor pertanian dengan sumbangan kepada KDNK adalah 37.0 peratus. KDNK pertanian lain dan perikanan masing-masing mencatatkan 17.2 peratus dan 14.4 peratus (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012).       

Tanaman merupakan subsektor utama dalam sektor pertanian. Produk kelapa sawit iaitu minyak sawit mentah dan isirong sawit adalah produk utama subsektor ini. Pengeluaran minyak sawit mentah dan isirong sawit masing-masing meningkat sebanyak 1,917.8 ribu tan metrik dan 414.5 ribu tan metrik pada 2011 berbanding tahun sebelumnya (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012). Pada 2010, Malaysia berada di kedudukan kedua dalam pengeluaran minyak sawit mentah dan isirong sawit dunia selepas Indonesia. Perkembangan ini boleh dilihat dapat membantu penduduk luar bandar dalam meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih mampu dalam bidang pertanian. Akan tetapi sektor ini telah banyak didominasi oleh pekerja asing khususnya pekerja dari negara Indonesia. Hal ini disebabkan oleh mereka sedar sektor perladangan di Malaysia mempunyai kadar upah yang tinggi berbanding dengan negara asal.        

Selain itu juga, generasi muda atau generasi kedua atau ketiga dari pekebun kecil di Malaysia telah banyak bermigrasi ke bandar. Hal ini disebabkan oleh menganggap pekerjaan ini kotor dan tidak sesuai (4D- Difficult, Dirty, Dangerous and Demeaning) untuk mereka yang berkelayakan dan kerja ini dianggap amat memenatkan. Generasi muda harus sedar akan kepentingan khazanah kurniaan bidang pertanian khususnya kelapa sawit amat penting untuk dibangunkan agar ia menjadi suatu sektor mampan bagi generasi akan datang. Generasi muda sepatutnya mempunyai kesedaran bahawa punca rezeki atau bidang pekerjaan tidak hanya tertumpu pada kawasan bandar sahaja. Malahan peluang penjanaan ekonomi ini telah berada di depan mata mereka.

Maka kajian ini akan meninjau pengalaman usahawan pekebun sawit yang sudah berjaya (yakni ikon) khususnya dalam mengendalikan aktiviti diversifikasi peluang ekonomi dan intipati rahsia kejayaan mereka akan dilihat sebagai role model bagi bakal usahawan yang bukan saja dari golongan generasi kedua yang sudah terdedah dan mengalami kegiatan sawit ini, tetapi juga untuk menyuntik kesedaran dan semangat dalam kalangan bakal belia di desa mahupun bandar tentang keupayaan menjadi usahawan ada di depan mata mereka. Malah hasil kajian ini juga dapat menjadi iktibar kepada pelajar sekolah yang kurang cenderung kepada keupayaan akademik untuk menimba pengalaman melalui kemahiran yang boleh diperolehi dengan mengerjakan aktiviti keusahawanan disamping usaha sebagai pekebun kecil. 

 Seterusnya kertas ini akan mengemukakan permasalahan kajian tentang pengalaman dan faktor yang memungkinkan diversifikasi ekonomi yang dijalankan oleh pekebun kecil yang berjaya (iaitu usahawan pekebun sawit), disusuli dengan objektif kajian, metod kajian, signifikan kajian dan sorotan literature lepas.

Project Leader

Sivapalan Selvadurai (Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), )