Lawatan Teknikal – Program Pembangunan Komuniti Warisan, Tapak Warisan Kebangsaan FRIM

cats

FRIM WHS UNESCO

Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedang merangka program pembangunan komuniti bagi Tapak Warisan FRIM (TWF) bersempena pencalonan FRIM sebagai World Heritage Site UNESCO menjelang tahun 2020. FRIM berhasrat untuk memperkasakan dan membangunkan Tapak Warisan FRIM berteraskan Green Community Model untuk bersama mendokongi usaha pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan tapak warisan.

Bagi menjayakan hasrat murni ini, FRIM telah bekerjasama dengan Dr. Sharina Abdul Halim, Ketua Program Penyelidikan Sumber Budaya dan Tradisi, Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) dengan mengadakan lawatan teknikal ke seluruh Langkawi pada 2-4 Ogos yang lalu.

Di antara tempat-tempat yang dilawati adalah Frangipani Langkawi Resort & Spa, Geopark Information Centre, Komuniti Kampung Ara dan Kuala Teriang, SMK Kedawang, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Makmal dan Galeri PPL.

Objektif utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan pendedahan dan perkongsian pengetahuan berkaitan:

  1. Pendekatan yang digunakan oleh pihak pengurusan dan masyarakat setempat dalam usaha memperkasakan kelompok komuniti.
  2. Model pengurusan dan pembangunan komuniti termasuk pembangunan program/produk melibatkan pemeliharaan alam sekitar termasuk aspek perlancongan.
  3. Cabaran yang dihadapi dalam pengurusan dan pembangunan komuniti setempat.

Berita oleh Dr. Sharina Abdul Halim