Langkawi Tourism Symposium 2016

lts_featured_image

Anjuran: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)

Tarikh: 23 – 25 Ogos 2016

Tempat: Adya Hotel, Langkawi, Kedah

Langkawi Tourism Symposium 2016 anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah diadakan di Hotel Adya selama 3 hari merangkumi pembentangan dan lawatan lapangan ke Taman Georimba Marmar Dayang Bunting (Dayang Bunting Marble Geoforest Park). Simposium ini bertujuan membincangkan secara menyeluruh mengenai pembangunan industri pelancongan terutamanya di Langkawi yang merangkumi isu-isu kritikal, cabaran dan halatuju. Selain itu, penambahbaikan industri pelancongan juga dikongsi bersama oleh para pembentang dan peserta yang hadir. Fokus perbincangan adalah berkenaan penyelidikan dan inovasi, kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan, perhubungan, pemberdayaan masyarakat setempat, promosi warisan tradisional, strategi pemasaran dan lain-lain. Bagi lawatan lapangan pula, ianya melibatkan lawatan ke tempat-tempat geosite iaitu ke Pulau Ular, Pulau Tepor (tidak dapat dilawati kerana faktor cuaca), Pulau Singa Besar (melihat helang / “eagle watching”), Pulau Singa Kechil dan berakhir di Pulau Dayang Bunting. Pelbagai maklumat telah diperolehi dan dikongsi bersama beberapa ambassador geopark sewaktu lawatan lapangan tersebut. Simposium yang bertemakan “Standing in the Eyes of the World” ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Ir. Nawawi bin Ahmad (Ahli Parlimen Langkawi) dan disertai oleh peserta daripada pelbagai sektor awam dan swasta, para akademik dan pelajar, NGO, peserta/pengamal industri serta masyarakat tempatan. Antara pakar-pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terlibat secara langsung dalam simposium ini termasuklah Prof. Dato’ Dr. Mazlin bin Mokhtar (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim bin Komoo (Felo Utama LESTARI), Prof. Dr. Mohd Raihan bin Taha (Pengarah LESTARI) dan Dr. Sharina binti Abdul Halim (Felo LESTARI dan Ketua Program Budaya dan Tradisi Setempat PPL).

lts_1

Antara barisan jemputan utama simposium, iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim bin Komoo, YB Dato’ Ir. Nawawi bin Ahmad (Ahli Parlimen Langkawi), Datuk Rashidi bin Hasbullah (Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan), Prof. Dato’ Dr. Mazlin bin Mokhtar (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM) dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid bin Ramli. (sumber foto: Langkawi UNESCO Global Geopark)

lts_2

Pembentangan oleh Dr. Sharina Abdul Halim pada sesi yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Mohd Raihan bin Taha. (sumber foto: Langkawi UNESCO Global Geopark)

Laporan oleh Asbiyatulaida binti Derahman.