KOLOKIUM SISWAZAH LESTARI 2023

Setelah hampir tiga tahun negara berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, Kolokium Siswazah LESTARI 2023 (KSL 2023) kembali diadakan secara fizikal untuk memastikan penglibatan secara langsung semua warga LESTARI. KSL 2023 telah diadakan pada 11 dan 12 Oktober 2023 di Bilik Kuliah Utama LESTARI. “Penyelidikan Cemerlang, Aspirasi Negara” merupakan tema untuk KSL 2023 yang menyoroti bagaimana penyelidikan berkualiti dan inovatif dapat memainkan peranan utama dalam menyelesaikan cabarancabaran semasa dan merangkul aspirasi untuk masa depan yang lebih baik.

Seramai hampir 75 warga LESTARI hadir ke KSL 2023 untuk menyaksikan keterlibatan 18 orang pelajar siswazah merangkumi semua pusat penyelidikan di LESTARI membentang pada kali ini. Seramai 21 penilai yang bijaksana telah menilai pembentangan pelajar siswazah ini bermula daripada fasa abstrak lanjutan dan diikuti dengan pembentangan pada hari KSL 2023. Untuk tahun ini, tiga orang peserta KSL telah terpilih memenangi anugerah kategori abstrak lanjutan terbaik sarjana, abstrak lanjutan terbaik doktor falsafah, pembentangan terbaik sarjana dan pembentangan terbaik doktor falsafah. KSL dilihat sebagai satu latihan untuk pelajar mengukuhkan kemahiran penyelidikan dan kemahiran berkomunikasi.

Diharapkan melalui KSL 2023, para peserta dapat mencipta pengalaman dan persekitaran yang mempromosikan ilmu, pemahaman tentang kandungan penyelidikan dengan lebih baik dan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi. Akhir kata, terima kasih kepada semua felo akademik LESTARI, para pegawai dan kakitangan LESTARI yang sama-sama menjayakan KSL 2023.

Laporan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad.