Kolokium Siswazah LESTARI 2024

Kolokium Siswazah LESTARI 2024 (KSL 2024) telah diadakan pada 15-16 Oktober 2024 secara fizikal sepenuhnya bagi memastikan penglibatan langsung seluruh warga LESTARI.  Tema tahun ini, “30 Tahun LESTARI Memupuk Agenda Kelestarian”, adalah bersempena dengan ulang tahun LESTARI ke-30. Tema ini juga selaras dengan misi LESTARI dalam memajukan pembangunan mampan sepanjang tiga dekad yang lalu. Matlamat ini juga sejajar dengan visi UKM dan permintaan semasa yang kini kita hadapi.

Pada kolokium tahun ini, LESTARI dengan bangganya menyambut seramai 15 pelajar yang membentang, di mana 5 pelajar adalah daripada SGK, 3 pelajar adalah daripada KASES, 1 pelajar adalah daripada SEADPRI, dan 6 pelajar adalah daripada PPG. Kumpulan ini terdiri daripada 11 pelajar antarabangsa dan 4 pelajar tempatan. Seramai 8 daripada 11 pelajar antarabangsa berasal dari China dan 1 dari Arab Saudi serta 2 dari Indonesia. Dari segi tahap akademik, terdapat 11 calon PhD (1 tempatan dan 10 antarabangsa) dan 4 pelajar Sarjana (3 tempatan dan 1 antarabangsa).

Pembentangan dalam kolokium ini dibahagikan kepada lima sesi tematik, masing-masing membentangkan bidang kajian yang penting iaitu Kelestarian Pertanian, Geopark dan Pelancongan, Warisan Budaya, Sains Kesihatan dan Pengurusan Bencana dan Governans dan Pendidikan Kelestarian

Untuk tahun ini, empat orang peserta KSL telah terpilih memenangi anugerah kategori abstrak lanjutan terbaik sarjana, abstrak lanjutan terbaik doktor falsafah, pembentangan terbaik sarjana dan pembentangan terbaik doktor falsafah. Pemenang terpilih adalah pelajar yang mendapat markah tertinggi dalam penilaian setiap kategori dan dinilai oleh 21 penilai yang bijaksana.

Semoga melalui KSL 2024, para peserta dapat meraih peluang untuk membina pengalaman yang kaya, sambil mencipta suasana yang mendorong perkongsian ilmu dan meningkatkan pemahaman terhadap hasil penyelidikan. Selain itu, diharapkan juga bahawa acara ini menjadi landasan bagi perkembangan lanjut dalam bidang ilmu dan teknologi. Sebagai penutup, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua felo akademik LESTARI, serta para pegawai dan kakitangan yang telah bersama-sama menjayakan KSL 2024 dengan dedikasi dan komitmen yang tinggi.

Laporan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim