Bengkel Pemerkasaan Komuniti Setempat Geopark Gombak-Hulu Langat (Siri 1: SK Batu Arang, Selangor)
Pada tanggal 10 Jun 2023, satu “Bengkel Kesedaran, Pengetahuan dan Pemahaman Komuniti Setempat dalam Pemuliharaan Warisan Tabii dan Budaya Melalui Konsep Geopark Sebagai Peraga Pembangunan Lestari Wilayah” telah dijalankan dengan jayanya, bertempat di Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Selangor. Ia merupakan siri bengkel bersama komuniti yang pertama dilaksanakan di bawah Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), khusus bagi mengukuhkan pemahaman konsep geopark di kalangan warga pendidik dan murid sekolah selain memperkasa kesedaran awam berkenaan kepentingan usaha pemuliharaan warisan di sekitar Geopark Gombak-Hulu Langat.
Seramai 34 orang guru SK Batu Arang yang diketuai oleh Puan Nini Nafaizah Mokhtar selaku Guru Besar telah menyertai bengkel ini, di mana mereka telah dibentangkan dengan penerangan ringkas berkaitan Geopark Gombak-Hulu Langat yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah dan Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim. Warga pendidik SK Batu Arang yang digelar “Coalians” ini turut sama membincangkan dan memberikan pandangan berkaitan pelbagai keistimewaan warisan tabii dan budaya yang terdapat di sekitar Batu Arang yang berpotensi untuk seterusnya diterapkan di dalam penghasilan modul latihan pelajar sekolah rendah Geopark Gombak-Hulu Langat. Sewaktu bengkel berlangsung, para penyelidik LESTARI juga sempat di bawa ke Black Diamonds Gallery bagi melihat sendiri usaha dan inisiatif warga Coalians ini bagi memupuk pengetahuan dan semangat jatidiri para pelajarnya berkaitan sejarah dan pemuliharaan warisan perlombongan arang batu di persekitaran mereka.
Bengkel seumpama ini dijangka akan diteruskan dalam masa terdekat, kali ini melibatkan guru-guru daripada beberapa lagi sekolah rendah terpilih di wilayah lain di dalam Geopark Gombak Hulu-Langat dan disusuli dengan lawatan lapangan ke tapak-tapak warisan bersesuaian sekitar geopark ini.
Laporan oleh Nazren Leman