Pembangunan Keupayaan Pemandu Pelancong Geopelancongan di Mersing Geopark
Pasukan PECUTAN UNESCO Malaysia yang diketuai oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo telah mengadakan program Pembangunan Keupayaan Pemandu Pelancong Geopelancongan di Mersing Geopark yang dibiaya oleh Suruhanjaya UNESCO Malaysia (SKUM Malaysia) pada 16 hingga 17 Februari 2022. Program pembinaan keupayaan barisan hadapan industri pelancongan negara mengenai ‘geopelancongan, geotapak dan geopark’ ini diadakan di Teluk Penyabung Resort dan telah dihadiri oleh seramai 30 pemandu pelancong di sekitar Johor.
Empat (4) topik utama disampaikan iaitu: a) Geopark, Geotapak & Geopelancongan (Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo); b) Geowarisan Mersing dan Geopelancongan (Prof. Dr. Che Aziz Ali); c) Biotapak Mersing dan Geopelancongan (Prof. Dr. Norhayati Ahmad); dan d) pendidikan Awam dlm Geopelancongan (Prof. Dato’ Dr. Norzaini Azman). Pada hari kedua, tumpuan diberikan kepada pembelajaran lapangan iatu di tiga geotapak/ biotapak terpilih; Volkano Tg Penyabung, Dataran Pasang Surut Tg Mawar; dan Hutan Gunung Arong.
Matlamat utama program ini adalah memberikan pengetahuan mengenai konsep geopelancongan dan memperkenalkan produk geopelancongan (geotapak dan biotapak) yang terdapat di Mersing Geopark. Geopelancongan adalah merupakan produk baharu ‘pelancongan tabii’ yang mengunakan Geotapak dan Biotapak sebagai ‘produk untuk menikmati, memahami, menghayati hubungan alam dan manusia’. Bersifat holistik memperkenalkan hubungan antara warisan geologi (landskap), biologi dan budaya sebagai asas penceritaan dan pendidikan awam.
Laporan oleh Wan Daraputri Razali.