KASIH 6 UKM Meriah

B_All-Goodjpg

Pada bulan Mac 2016,  Kolej Burhanuddin Helmi (KBH), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan program Kayuhan Amal dan Sihat (KASIH 6) dengan kerjasama Kelab Berbasikal UKM, Pusat Tranformasi Komuniti Universiti (UCTC) Arena Basikal Malaysia (ABM) dan Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur (DPMM KL).

Program KASIH 6 ini telah dirasmikan oleh Prof Dr Mohd Raihan Taha, Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM. Antara yang turut berkayuh adalah Dato Ibrahim Saad, Ketua Pengarah Biro Tatanegara(BTN), Dato Shariffudin Dato Musa, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) dan Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Jarak kayuhan yang telah ditetapkan adalah sebanyak 36 kilometer, daripada UKM ke Putrajaya dan berpatah balik ke UKM. Penyertaan bagi KASIH 6 kali ini melebihi daripada jangkaan pihak penganjur dengan jumlah melebihi 700 peserta berdaftar dan berkayuh pada hari tersebut. Kemeriahan ini dapat dirasai dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah disediakan, antaranya adalah aktiviti Zumba, Carboot Sales daripada team Ai Suka Bazaar , kelas solekan ‘Mary Kay’ dan cabutan bertuah kepada peserta kayuhan.

Bagi penasihat KASIH 6, En. Bisharuzi Omar berkata, KASIH 6 ini merupakan kesinambungan daripada projek KASIH 1, 2, 3, 4  dan 5  sebelum ini. Tujuan utama diadakan program ini adalah untuk menyahut seruan pengurusan UKM dalam menwujudkan Kampus Hijau melalui program UKM-LESTARI dan program Kelab Ekorelawan UKM di samping mewujudkan budaya berbasikal dalam kampus UKM.

Bagi Pengarah Program, Amira Ismail iaitu mahasiswa tahun 2 program Biologi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), program kali ini membawa imej buaya, maskot Kolej Burhanuddin Helmi sejak sekian lama yang bermaksud ‘pantang ada peluang pasti kami ambil’. Dengan imej ini, kami mengambil peluang untuk mengadakan program berbasikal yang sedang menjadi trend terkini yang berkonsepkan ‘run ride’ dan memberi galakan kepada peminat berbasikal untuk menderma kepada pihak yang memerlukan. Bagi KASIH 6, pihak kami telah menetapkan bahawa dana yang terkumpul akan diberikan kepada penduduk Kampung Pulau Che Soh, Tumpat Kelantan. Umumnya, Kampung Pulau Che Soh hanya terdiri dari lapan keluarga sahaja. Majoriti di antara mereka hanya bekerja sebagai nelayan. Malah keadaan makin meruncing jika musim tengkujuh melanda yang kebiasaannya kampung itu ditenggelami air ‘bah’. Justeru, dana yang dikumpul akan digunakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh keluarga yang terpilih meliputi aspek kemudahan asas, infrastruktur kediaman dan kelengkapan persekolahan anak mereka.

Kami sebagai pihak penganjur berharap bahawa program KASIH 6 ini dapat menjadi penanda aras bagi program-program kayuhan yang akan datang. Pihak kami juga berharap bahawa program ini menjadi satu titik tolak kepada era baru penduduk Kampung Pulau Che Soh, Tumpat Kelantan. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak penaja yang banyak menyumbang ke arah kelancaran program KASIH 6 ini.  Penghargaan serta ucapan terima kasih juga kami rakamkan kepada semua peserta yang menyertai kayuhan amal ini dan berharap program seperti ini akan mendapat sambutan yang lebih hangat lagi pada masa yang akan datang.

profraihanPOJPeserta01-GantryPerasmian-KASIH6

Video 1, klik di sini.

Video 2, klik di sini.

Laporan oleh Bisharuzi Omar.