Bengkel Kelestarian & Keselamatan Makanan Ekosistem Selat Melaka
Pasukan Bertindak Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia dan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL LESTARI), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM dengan kerjasama Pusat Kajian Samudera & Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan bengkel Kelestarian dan Keselamatan Makanan Ekosistem Selat Melaka pada 17-19 Mac 2023 bertempat di CEMACS, UKM. Bengkel ini diketuai oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo dan melibatkan beberapa orang profesor dari UKM, USM dan UPM yang membentangkan kertas kerja bagi penyediaan kertas putih Kelestarian Selat Melaka. Bengkel ini juga bertujuan untuk menggerakkan iltizam dasar dan program untuk mengurus Selat Melaka secara terintegrasi oleh semua pihak berkepentingan, termasuk Kerjasama dengan negara-negara jiran. Komponen yang dipertimbangkan meliputi perkhidmatan ekosistem, kepelbagaian biologi, perikanan pesisir Pantai, akuakultur, pencemaran selat, sumber bumi & bencana alam, maritim, tambakan laut, Sejarah & budaya Masyarakat serumpun dan pelancongan ilmu.
Pasukan bengkel juga turut dibawa melawat oleh Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, Pengarah CEMACS untuk melihat makmal dan beberapa inisiatif penyelidikan yang dijalankan oleh pasukan penyelidik CEMACS, seperti penyelidikan mengenai tiram, rumpai laut dan haiwan dan tumbuhan marin yang lain. Pusat ini menjalankan penyelidikan di dalam bidang berkaitan biodiversiti dan pemuliharaan ekosistem marin, ekosistem hutan pantai dan ekologi mamalia marin.
Laporan oleh Wan Daraputri Razali.