Kem Ekologi IKIM-LESTARI UKM 2023
“Penjelajahan Geopark: Menyelami Ekosistem Kita”
Pada tanggal 21-23 September 2023, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM dengan jayanya dan buat julung kalinya telah menganjurkan Kem Ekologi IKIM-LESTARI 2023 selama 3 hari, bertempat di Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL), Langkawi, Kedah. Bertemakan “Penjelajahan Geopark: Menyelami Ekosistem Kita”, kem ini dijalankan dengan kolaborasi erat bersama PPL-ALAF UKM dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bertujuan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada para peserta berkaitan aspek ekologi khususnya melalui pemahaman konsep, teori dan aplikasi ekologi yang baik menerusi aktiviti-aktiviti secara praktikal yang diketengahkan di dalam kem ini. Program ini terlebih dahulu telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil selaku Ketua Pengarah IKIM sambil turut dihadiri oleh Dr. Nor Azaruddin Husni Hj. Nuruddin, Pengarah Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar (KIAS), IKIM; Encik Malik Hassan, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah; dan Encik Yusof Nayan, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Langkawi, Kedah.
Sekitar 60 orang peserta telah mengambil bahagian dalam kem ekologi bagi edisi yang pertama ini, terdiri daripada 30 orang pelajar Tingkatan 4 dan wakil guru-guru daripada SMK Tunku Putra; sekretariat daripada KIAS dan Unit Program & Latihan, IKIM; renjer-renjer Geopark daripada LADA; serta para penceramah dan pihak urusetia daripada LESTARI dan PPL-ALAF, UKM. Sejumlah 6 buah modul pembelajaran telah disampaikan kepada para pelajar pada hari pertama, dimulakan oleh Puan Rosmidzatul Azila Mat Yamin (Modul 1: Islam dan Pengurusan Ekosistem); diikuti dengan Prof. Madya Dr. Tanot Unjah (Modul 2: Geopark); Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail (Modul 3: Penjelajahan Ekosistem Hutan Tropika); Encik Nik Mohd Noor Faizul Md Saad (Modul 4: Air, Sungai dan Manusia); Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim (Modul 5: Penyertaan Komuniti dalam Pemuliharaan Warisan); dan diakhiri dengan Dr. Nurfashareena Muhamad (Modul 6: Bencana dan Alam Sekitar).
Pada hari kedua pula, para pelajar dan peserta berkesempatan menjalankan aktiviti Modul Lapangan 1: Renjer Rimba dan Modul Lapangan 2: Doktor Sungai di sekitar kawasan Telaga Tujuh, Machinchang Cambrian Geoforest Park bagi mempelajari teknik-teknik pengecaman pelbagai spesies tumbuhan hutan dan penentuan kualiti air berdasarkan penunjuk biologi. Di sebelah petangnya pula, aktiviti lapangan diteruskan lagi kali ini di Kilim Karst Geoforest Park yang telah diuruskan sepenuhnya oleh pihak LADA selama lebih kurang 3 jam. Para pelajar dan peserta terlebih dahulu berkunjung ke Langkawi UNESCO Global Geopark Discovery Centre (GDC) di mana penerangan terperinci berkaitan warisan tabii dan budaya di Langkawi Geopark turut diberikan oleh pemandu pelancong tempatan iaitu Encik Othman Ayeb dan Encik Muzaffar Zoher, Pegawai Geopark LADA. Seterusnya kesemua peserta dibawa menaiki bot bagi mengenali beberapa tapak-tapak penting di Kilim yang mempamerkan keindahan ekosistem bakau dan pelbagai keunikan batuan geologi dan spesies-spesies biologi antaranya seperti di Gua Kelawar dan Pulau Anak Tikus. Pada masa yang sama, para pelajar turut ditugaskan untuk menjalankan sedikit aktiviti lapangan bagi Modul Lapangan 3: Pengawas Risiko, Modul Lapangan 4: Detektif Fosil dan juga Modul Lapangan 5: Kita Khalifah, Penjaga Bumi di tapak-tapak yang dilawati.
Kem ini diteruskan dengan Sesi Refleksi oleh para pelajar pada hari terakhir program bagi berkongsi pengalaman dan ilmu ekologi yang dipelajari oleh mereka sepanjang kem ini berlangsung. Perkongsian refleksi ini dilakukan dalam pelbagai bentuk dan medium kreativiti oleh 5 kumpulan pelajar antaranya melalui persembahan drama, sajak, pantun dan sebagainya. Kem Ekologi IKIM-LESTARI 2023 diakhiri dengan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada para pelajar, guru dan pihak urusetia yang telah banyak membantu menjayakan program ini. Syabas diucapkan kepada semua dan sehingga bertemu lagi di dalam edisi yang seterusnya.
Laporan oleh Nazren Leman