Kunjungan Hormat NIOSH Certification ke LESTARI, UKM
Pada 11 April 2023, LESTARI UKM berbesar hati menerima kunjungan hormat NIOSH Certification Sdn Bhd (NIOSHCert). Pertemuan ini merupakan aktiviti julung kali perbincangan bersama antara NIOSHCert dan LESTARI UKM. Secara umum, NIOSHCert adalah badan pensijilan milik Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Ia bertanggungjawab dalam mempromosikan pensijilan standard di bawah akreditasi Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan daya saing global bagi produk dan perkhidmatan negara dengan kos yang kompetetif serta insentif untuk industri.
Kunjungan ini diketuai oleh En. Syamsul Zahrin Zainudin, selaku Ketua Pegawai Eksekutif NIOSHCert bersama-sama dengan En. Amirthasamy Mahalingam (Pengurus Besar), Pn. Asiah Nasution Suhaimi (Pengurus Kanan Pensijilan) dan Pn. Siti Nur Ida Zaharuddin (Pegawai Khas). Felo Utama LESTARI yang turut serta dalam menerima kunjungan ini ialah Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed, Prof. Dr. Lee Khai Ern, Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail, Prof. Madya Dr. Sarah Aziz, dan Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim. Antara perkara utama yang dibincangkan sewaktu kunjungan ini berkaitan dengan peluang kerjasama di antara NIOSHCert dan LESTARI iaitu mengenai pensijilan kayu Malaysia dan pensijilan pelancongan kembara yang merangkumi aspek multidisplin dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dan agensi kerajaan.
Laporan oleh Puan Bayani Kepli.