UKM Mengungguli Pertandingan Tesis 3 Minit Alam Sekitar 2020
Oleh Mas Aliza Abu
Foto Muhammad Izwan Azman
Bangi, 21 Disember 2020 – Pelajar UKM mengungguli Pertandingan Tesis 3 Minit Alam Sekitar 2020 yang dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 baru-baru ini.
Kedua-dua pelajar tersebut ialah Mohd Fahad Saleem yang menjuarai kategori Prasiswazah manakala Mohamad Khairul Hafizi Rahimi menyandang tempat ketiga bagi kategori Pascasiswazah.
Pertandingan yang diadakan dengan kerjasama UKM, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari Universiti Awam yang lain termasuklah UKM, UPM, UTHM, UMT, UTHM, UMS, UiTM dengan mencatat penyertaan 18 orang peserta bagi kedua-dua kategori Prasiswazah dan Pascasiswazah.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Puan Norlin Jaafar berkata, pertandingan yang julung kali diadakan oleh JAS ini merupakan salah satu inisiatif mempromosi kesedaran berkaitan alam sekitar kepada para mahasiswa Universiti Awam.
“Harapan kami adalah untuk melihat pertandingan ini melahirkan mahasiswa yang dapat berkongsi idea dan berpandangan jauh dalam isu-isu berkaitan alam sekitar, sekali gus mencambahkan idea-idea berkaitan kaedah dan kawalan pencemaran alam sekitar di Malaysia.”
Mengulas lebih lanjut, Prof. Madya Dr. Ahmad Fariz Mohamed dari LESTARI berkata, beliau berharap program ini berjaya memberikan pendedahan idea berkenaan hasil-hasil penyelidikan yang dijalankan di institusi pengajian tinggi agar dapat membantu negara menguruskan alam sekitar dengan lebih berinovasi.
Pertandingan ini telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Prasiswazah yang menerima sebanyak 10 penyertaan dan kategori Pascasiswazah yang mencatat lapan penyertaan.
Juara bagi kategori Prasiswazah disandang oleh Mohd Fahad Saleem dari UKM sebagai pemenang tempat pertama diikuti oleh Aqilah Zakiah Jahani (UTHM) dan Andrew Soh Wee Shong (UTHM) untuk pemenang tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori Pascasiswazah pula, pemenang tempat pertama disandang oleh Azim Haziq Zainuddin dari UPM, manakala tempat kedua dan ketiga disandang oleh Lau Gee Een (UPM) dan Mohamad Khairul Hafizi Rahimi (UKM).