Wacana Kelestarian Bil 2/2024
Pada 26 Jun 2024, Wacana Kelestarian Bil 2/2024 telah disampaikan oleh Alumni LESTARI, Ir. Dr. Selamat Bin Aliman yang merupakan Ahli Majlis Dewan Perlombongan Malaysia. Wacana yang disampaikan secara atas talian bertajuk Kelestarian Pembangunan Sumber Unsur Nadir Bumi (Rare Earth Element – REE) di Malaysia: Antara Retorik dan Realiti. Wacana Kelestarian Bil 2/2024 kali ini juga telah mendapat sambutan hangat dengan kehadiran mencecah 67 peserta terutama sekali rata-rata dari agensi kerajaan dan persatuan berkaitan minerals dan geosains dan juga warga UKM. Kemajuan pesat teknologi telah menyerlahkan kepentingan unsur nadir bumi (REE) untuk mencapai kelestarian alam sekitar. Isu REE telah menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, isu-isu yang berbangkit bukanlah sesuatu yang baru. Di dalam pembentangan Ir. Dr. Selamat Bin Aliman, beliau berkongsi beberapa perkara asas yang harus difahami untuk menilai sejauh mana aspek kelestarian diberi perhatian dan diuruskan dalam pembangunan sumber REE di Malaysia. Di samping itu beberapa kes operasi REE di Malaysia turut dikongsi di samping mengenengahkan cabaran yang dihadapi oleh industri nadir bumi Malaysia, bersama dengan rancangan sedia ada dan pematuhan kawal selia. Perkongsian sebegini penting dan dapat dijadikan panduan berguna untuk meneroka REE tempatan dan berfungsi sebagai asas untuk mewujudkan amalan mesra alam untuk membantu Malaysia mencapai sumber nadir bumi yang mampan.
Laporan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad.