Wacana Kelestarian Siri 3/2024
Pada 12 Ogos 2024, Wacana Kelestarian Siri 3/2024 telah disampaikan oleh Prof. Dr. Hjh. Sharifah Zarina Hj. Syed Zakaria yang merupakan Felo Penyelidik Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia. Wacana yang disampaikan secara atas talian ini bertajuk Kelestarian Pendidikan Pemangkin Kesejahteraan. Wacana Kelestarian Bil 3/2024 kali ini juga telah mendapat sambutan hangat dengan kehadiran mencecah 51 peserta rata-rata dari warga UKM dan juga agensi-agensi berkepentingan.
Dalam mempersiapkan pelajar untuk memahami isu-isu alam sekitar yang kompleks dalam institusi pendidikan, wacana ini memberi pendedahan berkenaan mekanisma pengajaran untuk pelajar berfikir secara kritis tentang keputusan alam sekitar,dan inovatif dalam menyelesaikan masalah, di samping mempersiapkan mereka menjadi pemimpin dan warganegara yang diperlukan oleh masa depan. Di dalam dunia yang sedang menghadapi cabaran alam sekitar yang mendesak, peranan pendidikan dalam memupuk kelestarian tidak boleh disangsikan lagi. Institusi pendidikan bukan hanya institusi untuk pengetahuan akademik tetapi juga tapak semaian untuk menanamkan kesedaran alam sekitar dalam minda masyarakat. Beliau di dalam sesi wacana juga berpendapat bahawa mengintegrasikan kelestarian dalam proses pengajaran dan pembelajaran dari peringkat terendah ke peringkat yang tertinggi, boleh membina budaya tanggungjawab alam sekitar yang berkekalan sepanjang hayat.
Laporan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad.