Faculty of Medicine UKM

FAKULTI PERUBATAN UKM JALIN KERJASAMA DENGAN INDUSTRI KURANGKAN KOS PERUBATAN

Oleh Mohamad Salleh Sulieman (sallehsulieman@ukm.edu.my)

KUALA LUMPUR, 7 Mac 2024 – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jeil Pharmaceutical Co Ltd. untuk menangani cabaran kenaikan kos perubatan.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kerjasama strategik ini akan dapat mengurangkan kos perubatan di kedua-dua hospital pengajaran UKM – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK).

“Kenaikan kos perubatan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan banyak pihak dan sistem kesihatan di seluruh dunia. Salah satu strategi untuk membantu mengawal kos adalah dengan meningkatkan penggunaan ubat generik yang berkualiti tinggi.

“Melalui kerjasama ini, diharapkan lebih banyak hospital pengajaran bakal mengikuti langkah Fakulti Perubatan UKM untuk sama-sama menangani isu ini.

“Selain itu, MoU ini bertujuan untuk menyelaraskan pendaftaran ubat seperti yang digariskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk memastikan keselamatan, keberkesanan, dan kualiti produk farmaseutikal,” katanya.

Kerjasama dengan Jeil Pharmaceutical, sebuah syarikat dengan pengalaman lebih dari 60 tahun dalam pembuatan farmaseutikal serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), dilihat sebagai satu langkah penting.

Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan menekankan bahawa kepakaran Jeil Pharmaceutical dalam menghasilkan ubat berkualiti tinggi untuk penyakit tidak berjangkit, antibiotik, dan terbaru, ubat-ubatan untuk rawatan kanser.

“Jeil Pharmaceutical bukan sahaja membekalkan ubat di negara Korea Selatan tetapi juga ke 32 buah negara lain di seluruh dunia dengan pendapatan jualan pada tahun 2022 adalah sebanyak RM2.5 bilion,” katanya.

Menurut beliau, strategi ini juga melibatkan pemegang saham terbesar UKM iaitu UKM Holdings, yang akan memainkan peranan penting dalam kerjasama ini.

“Saya berharap pendekatan kolaboratif ini dapat menyelaraskan proses, meningkatkan kecekapan, dan mengurangkan kos perubatan melalui sumber dan kepakaran yang dikongsi.

“Kerajaan, organisasi kesihatan, dan syarikat insurans sering menggalakkan penggunaan ubat generik berkualiti tinggi untuk membantu mengawal perbelanjaan kesihatan.

“Walau bagaimanapun, adalah penting untuk memastikan bahawa ubat generik memenuhi standard kualiti dan keselamatan yang sama dengan nama jenama asal mereka,” katanya.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan wakil dari Jeil Pharmaceutical Co Ltd.