Megalit merupakan perkataan Yunani iaitu ‘Mega’ bermaksud besar dan ‘Lith’ bermaksud batu. Gabungan kedua-dua perkataan tersebut membentuk Megalit dan secara amnya bermaksud batu-batu yang mempunyai pelbagai saiz dan rupa yang dibentuk sebagai satu alat atau simbol. Tujuan batu-batu tersebut dibentuk adalah melibatkan ritual dan tradisi seperti kesuburan, kematian, penandaan, animisme, persembahan, semangat, kekuatan, kekuasaan dan perayaan. Selain itu, megalit melambangkan kebudayaan masyarakat ketika itu yang mengamalkan amalan-amalan yang berkaitan dengan batu besar tersebut (Adnan Jusoh et al. 2018, Zuliskandar Ramli et al. 2019).

Kebudayaan megalit ini dipercayai bermula pada zaman Neolitik sekitar 3500 S.M dan diamalkan oleh masyarakat di seluruh dunia. Contoh megalit yang ditemui di seluruh dunia adalah seperti Stonehenge of England, Rapa Nui, Plain of Jars di Laos dan sebagainya. Kebanyakan megalit yang ditemui mempunyai saiz dan jenis struktur batuan yang berbeza di setiap tempat, manakala jenis batuan bergantung kepada sumber dan teknologi pada waktu itu
Megalit ini juga membawa maksud penggunaan batu besar dalam kehidupan masyarakat silam. Hal ini kerana sebahagian besar tinggalan kebudayaan megalitik dibina dengan susunan batu monolit yang ukurannya besar dan berbeza-beza. Kebudayaan megalit ini bukan suatu zaman yang berkembang secara sendiri tetapi ianya merupakan hasil daripada budaya atau tradisi masyarakat terdahulu. Kebudayaan berasaskan batu besar atau lebih dikenali sebagai kebudayaan megalitik ini dipercayai wujud di Asia Tenggara pada zaman Neolitik dan ianya diamalkan secara meluas di Asia Tenggara. Perkembangan kebudayaan megalit di seluruh dunia menunjukkan bahawa kebudayaan ini sangat mempengaruhi masyarakat masa lalu. Malah kebudayaan megalit ini masih diamalkan dan diteruskan sehingga kini walaupun telah mengalami pengubahsuaian.

Kearifan Tempatan yang Unik

Lindungi Kunjungi Lestarikan

Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas

Penyelidikan
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia
603 8921 3694 | ziskandar@ukm.edu.my

Pemetaan Tapak Megalitik Negeri Sembilan