Megalitik Negeri Sembilan

Jenis Megalit

Kebudayaan megalitik mempunyai pelbagai jenis atau ciri-ciri kebudayaan, antaranya adalah menhir, dolmen, kubur kepingan batu, tempayan batu, binaan batu bertingkat, sakrofagus dan arca batu. Apabila membincangkan tentang kebudayaan megalitik di Malaysia, secara tidak langsung juga wajar sepintas lalu kita membicarakan mengenai jenis megalityang terdapat di Malaysia. Berikut adalah antara beberapa jenis batu megalit:

Menhir juga disebut batu tegak di mana batuannya didirikan dalam keadaan menegak seperti tiang atau tugu. Menhir kadang-kala dalam satu bentuk blok batu besar didirikan secara menegak ke atas, kadang-kala ia berupa tiang atau tugu batu tunggal yang didirikan di kawasan yang tertentu. Lazimnya menhir berfungsi untuk menghormati roh nenek moyang masyarakat pada waktu silam. Berat blok batu yang dijadikan menhir berkenaan kadang-kala boleh mencapai beratus tan, manakala ketinggiannya pula boleh mencapai kira-kira 70 kaki tinggi.

Di samping itu kadang-kadang menhir tersebut juga ada yang muncul dalam bentuk yang berukiran atau menampilkan imej yang tertentu. Kadang kala ia terdiri daripada blok batu granit yang disusun berbaris lurus atau bulatan malahan ada juga dalam keadaan melengkung. Logiknya untuk mendirikan menhir ini sudah tentu menggunakan tenaga yang banyak disebabkan batu menhir lazimnya adalah bersaiz besar. Batu tersebut dipercayai diambil dari beberapa tempat misalnya di kawasan kaki gunung atau di sungai-sungai yang mempunyai bongkah batu yang besar.

Secara umumnya, menhir ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu;

  1. Menhir tunggal – biasanya ia boleh ditemui di pinggir jalan, halaman rumah, di tempat-tempat acara pemujaan dan juga di kawasan perbatasan.
  2. Menhir berpasangan – ia disusun secara berpasangan dalam satu barisan lurus dari utara ke selatan atau dari timur ke barat. Kebanyakan darinya didirikan di kawasan perkuburan purba atau di kawasan timbunan tanah.
  3. Menhir berkelompok – ia sering ditemui di kawasan upacara pemujaan.
  4. Menhir bulat – ia mempunyai fungsi yang sama dengan menhir berkelompok.
  5. Menhir berukir – ia memiliki permukaan yang diukir dengan bentuk atau imej yang tertentu. Malahan seringkali juga ia dijadikan tugu peringatan sesuatu di mana wajah nenek moyang mereka atau bentuk ukiran lain dilakarkan.

Dolmen ialah satu blok batu disusun membentuk meja. Dolmen digunakan sebagai tempat sajian untuk pemujaan pada roh nenek moyang. Dolmen juga ada yang berbentuk peti batu dan di dalamnya berisi tulang belulang manusia serta beberapa benda yang dijadikan objek iringan seperti periuk, gigi binatang, porselin dan sebagainya. Ciri unik yang terdapat pada dolmen ialah strukturnya, di mana ia didirikan dengan meletakkan sebiji batu yang berbentuk rata di atas dua bongkah batu yang didirikan secara menegak. Ia boleh didapati secara berasingan atau berkelompok, umpamanya ialah tapak megalit berbentuk dolmen yang pernah ditemui di Assam (India), Pulau Nias (Indonesia) dan lain-lain kepulauan Asia Tenggara.

Selain itu, ada juga dolmen yang dijumpai bersama-sama dengan palong seperti di Pulau Panggung. Antara fungsinya mungkin sebagai tempat untuk meletakkan hidangan atau sajian bagi sesuatu upacara tertentu terutamanya untuk upacara pemujaan atau tugu peringatan. Kadang-kala terdapat juga kesan berupa kuburan (atau tempat pengebumian) di bahagian bawah dolmen.

Kubur Kepingan Batu (juga boleh disebut Kubur Batu Kepingan) atau Slab Grave merupakan salah satu jenis tradisi pengebumian yang diamalkan oleh masyarakat zaman prasejarah akhir. Rupa bentuk kubur ini mudah dikenali kerana di bahagian dasar atau lantai dihampar dengan batu granit. Manakala bahagian dindingnya pula disusun secara bertindih dengan batu granit secara menegak. Manakala beberapa kepingan batu juga diletakkan di bahagian atas dinding batu sehingga membentuk seakan-akan sebuah keranda batu.

Struktur fizikal kubur kepingan batu ini lazimnya ia merupakan sebuah peti batu yang dibentuk daripada enam buah papan batu, dua sisi panjang, dua sisi lebar sebuah lantai batu dan sebuah penutup peti. Ia disusun secara langsung di dalam sebuah lubang yang telah digali dan sebahagian besarnya membujur ke arah timur laut. Manakala tapak penemuan kubur kepingan batu di Malaysia pernah ditemui di Lembah Bernam, Perak. Untuk kes di Perak, di dalam kubur tersebut pernah dijumpai butiran artifak berupa manik, barangan atau objek yang diperbuat daripada logam dan pecahan periuk belanga daripada jenis yang digunakan pada zaman Neolitik.

Menurut Leong Sau Heng, terdapat penemuan 9 buah kubur kepingan batu di bahagian selatan Perak yang melibatkan kajian oleh I.H.N. Evans di Ladang Sungai Kruit pada tahun 1927, 1930 dan 1936. Dalam tahun 1937 H.D. Colling membuat kajian dan berjaya menemui kubur kepingan batu juga di Ladang Sungai Kruit, Sungkai (Leong Sau Heng 1991).