Kepercayaan Masyarakat Terhadap Batu Megalit
Secara umumnya, masyarakat percaya bahawa batu megalitik ini dikaitan dengan personafikasi dari nenek moyang yang telah meninggal dunia, malah turut dikaitan dengan objek dan tradisi pemujaan roh nenek moyang. Namun begitu, apabila pengaruh kebudayaan megalitik tersebar fungsi asal dikekalkan tetapi bentuk dan tujuan berubah mengikut kehendak masyarakat. Oleh kerana itu, terdapat beberapa jenis megalitik dengan pelbagai budaya bentuk dan tujuan yang wujud di seluruh dunia.
Penemuan batu megalit di sekitar Negeri Sembilan ini merupakan tanda perkembangan penempatan masyarakat awal yang menjadikannya sebagai tempat pemujaan, selain menaruh pelbagai kepercayaan yang diyakini mampu mempengaruhi ekonomi (pertanian) serta kebudayaan masyarakat ketika itu. Pada ketika itu juga, masyarakat yang bergantung terhadap pertanian sebagai sumber ekonomi utama mempercayai bahawa penyembahan serta pemujaan batu megalit mampu membantu mereka untuk memperoleh tanaman yang subur. Batu-batu megalitik yang merupakan monumen bersejarah itu turut digunakan sebagai tempat masyarakat dahulu berkumpul dan mengadakan persembahan tradisi untuk tujuan riadah. Selain itu, antara fungsi dan kepercayaan masyarakat terhadap batu megalit adalah sebagai batu hidup, tapak kubur, status sosial, ritual, batu sempadan, batu penanda, tempat bermesyuarah, dan batu hajat.
Masyarakat Negeri Sembilan khususnya di Luak Tanah Mengandung yang merangkumi luak-luak Terachi, Jempol, Ulu Muar, Inas dan Gunung Pasir turut menggelar batu megalit sebagai batu hidup. Mereka percaya pada konsep batu hidup di mana ada segelintir masyarakat setempat yang percaya bahawa batu tersebut boleh tinggi serta mengembang dengan sendirinya. Hal ini demikian kerana, batu tersebut akan berubah ketinggian serta kelebaran dari tahun ke tahun. Tentang bagaimana ia mendapat nama atau pernahkah kejadian ini berlaku sangat sukar untuk dijelaskan. Namun daripada segi logiknya, batuan atau bongkah batu yang besar sangat jelas menunjukkan usia atau tempoh kewujudannya yang sangat lama. Namun demikian, salah satu elemen yang kukuh ialah adanya kepercayaan bahawa batuan yang bersaiz besar (batu megalit) mempunyai ‘roh’, seolah-olah ia hidup (Adnan Jusoh et.al 2018). |
Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, kebanyakan mereka percaya bahawa batu mengalit ini adalah kubur nenek moyang mereka. Hal ini demikian kerana ada sesetengah batu megalit atau batu hidup yang terdiri daripada repihan batu granit yang ditanam berpasangan seperti di kawasan perkuburan orang-orang Islam. Oleh kerana terdapat sebahagian daripada batu megalit yang ditemui di tanah perkuburan orang Islam, maka kebanyakan dalam kalangan generasi tua menganggap tapak megalitik sebagai tapak perkuburan. Selain ditemui di tanah wakaf (perkuburan) ia juga boleh ditemui di kawasan lereng bukit dan juga di tebing sungai. Pendek kata hubungkait antara batu megalit dengan kuburan amat sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya. |
Setiap etnik atau masyarakat semenjak dari zaman prasejarah lagi sudah ada petunjuk tentang hirarki dalam kelompok masing-masing. Masyarakat di Negeri Sembilan juga tidak terkecuali daripada kedudukan status sosial dalam masyarakatnya. Berdasarkan pemerhatian di beberapa tapak megalit di sekitar Luak Tanah Mengandung, didapati kebanyakan batu megalit adalah wujud di dalam lot pemilik atau tuan tanah khususnya di dalam kawasan perkampungan. Terdapat kemungkinan batu megalit tersebut adalah berkaitan dengan status sosial iaitu manifestasi kedudukan sesorang tokoh dalam kalangan masyarakat setempat. Seperti batu megalit di Makam Tok Pandak yang dililit dengan menggunakan kain berwarna kuning. Hal ini mungkin ini menandakan bahawa si mati merupakan seseorang yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan status sosial yang tinggi dalam masyarakatnya. |
Jika dilihat daripada perspektif budaya dan kepercayaan, dapat dilihat bahawa batu mengalit ini mempunyai elemen ritual di sesetengah komuniti masyarakatnya. Hal ini kerana terdapat sesetengah tempat menjadikan batu hidup ini sebagai salah satu tempat untuk penyembahan dan pemujaan seperti dalam memohon keberkatan dalam hasil pertanian masyarakat tersebut. Mereka percaya akan roh nenek moyang yang wujud pada batu tersebut mampu memberi pertolongan kepada mereka dalam kehidupan seharian. Umpamanya, apabila seseorang pemimpin itu meninggal dunia, maka sebuah menhir akan didirikan sebagai tanda menghormati jasa. Kemudian menhir tersebut dijadikan sebagai tugu untuk pemujaan roh si mati atau lain-lain upacara pemujaan. Dalam hal ini, I Made Sutaba berpendapat kebanyakan tradisi atau kebudayaan megalitik cenderung berkait rapat dengan pemujaan roh nenek moyang dan kuasa supernatural (I Made Sutaba 1998). |
Batu megalit juga digunakan sebagai batu sempadan tanah adat yang terdapat di Luak Tanah Mengandung. |
Batu penanda ini selalunya ditemui di kawasan yang menjadi laluan binatang liar. Tujuan batu penanda ini diletakkan adalah untuk memberi peringatan kepada penduduk kampung berkenaan laluan-laluan yang sering digunakan oleh binatang-binatang liar demi menjaga keselamatan penduduk. |
Fungsi batu Megalit ini didirikan juga dikatakan sebagai tempat bermesyuarah ataupun berkumpul oleh masyarakat kampung di sesuatu tempat tersebut. Masyarakat di Luak Tanah Mengandung pada zaman dahulu berdasarkan penceritaan daripada Penghulu serta masyarakat desa yang mempunyai pengetahuan tentang kewujudan batu ini menyatakan bahawa ia digunakan oleh nenek moyang mereka untuk berkumpul sekiranya ada perkara penting untuk dibincangkan. Batu-batu megalitik yang merupakan monumen bersejarah itu turut digunakan sebagai tempat masyarakat dahulu berkumpul dan mengadakan persembahan tradisi untuk tujuan riadah. |
Batu hajat ini digunakan oleh penduduk kampung untuk meminta sesuatu. Salah satunya adalah upacara mendoa benih yang dilakukan oleh masyarakat dahulu pada setiap kali musim menanam padi. |