Megalitik Negeri Sembilan

Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas

Kajian dan penyelidikan arkeologi megalitik di Semenanjung Malaysia yang pertama kali adalah dilakukan oleh I.H.N Evans di tapak Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan pada tahun 1919. Terdapat sekitar 15 jenis batu granit sementara tiga menhir utama serta batu laterit yang ditemui dalam keadaan berselerakan, condong dan rebah. Sewaktu ekskavasi dijalankan, penyelidik telah menemui seramik berglais dan biru-putih, seladon, kaca pelbagai warna, alat batu dan syiling. Ekskavasi turut mendapati bahawa lapisan tanah tidak menunjukkan sebarang kesan gangguan/ penerokaan, namun begitu, terdapat kesan pembakaran yang ditemui.

Secara keseluruhan, pentarikhan relatif tapak ini adalah sekitar abad ke-14 hingga 15 M. Evans (1921) turut mendakwa, budaya di Pengkalan Kempas adalah sedalam dua kaki berdasarkan kesan pasir yang berbeza dengan lapisan atas. Tapak ini dianggarkan bertarikh sekitar abad 14-15 M berdasarkan pentarikhan secara relatif kubur Syeikh Ahmad Majnun yang mempunyai pentarikhan kematian sekitar 1467 M (Adnan Jusoh et. al. 2018). 

Tapak Megalit di Pengkalan Kempas telah didaftarkan sebagai ‘Warisan Kebangsaan’ di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 oleh Jabatan Warisan Negara, Kementarian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Kompleks ini menempatkan Batu Megalitik dan turut menempatkan Makam Syeikh Ahmad Majnun. Syeikh Ahmad Majnun merupakan seorang ulama yang menyebarkan syiar Islam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Makam beliau dianggap salah sebuah makam Islam yang tertua di Malaysia. Batu Megalitik atau lebih dikenali dengan batu hidup oleh masyarakat tempatan dipercayai telah wujud sejak abad ke 2 dan ke 3.

Morfologi megalitik yang wujud di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan adalah unik kerana ianya mempunyai megalitik berbentuk kemudi, sudu (payung) dan pedang (keris). Kesemua imej ini asasnya dapat dikaitkan dengan kepimpinan yang diwujudkan dalam bentuk perlambangan dan jelas menunjukkan bagaimana pola hias ini mempunyai hubungkait dengan adat yang diamalkan oleh masyaraat di Negeri Sembilan. Hal ini kerana megalitik yang terdapat di Pengkalan Kempas adalah satu-satunya megalitik yang diukir dan dipahat dengan bentuk binatang, matahari/bulan dan terdapat perkataan Arab iaitu “Allah” dalam huruf jawi (Abd Jalil & Othman 1989).