Berdasarkan Adat Perpatih, Negeri sembilan dibahagikan kepada beberapa daerah atau jajahan yang disebut luhak atau luak.
Luak Tanah Mengandung merupakan satu kawasan yang mengelilingi Seri Menanti dan mempunyai lima luak kecil iaitu Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir, Luak Inas.
Luak Tanah Mengandung ini merupakan tanah ibunda yang selaras dengan kawasan tempat bersemayamnya DYMM Yang Di-Pertuan Besar. Kelima-lima luak ini diketuai oleh Penghulu Luak dan berada dibawah kuasa Yang Di-Pertuan Besar. Penghulu-penghulu di luak ini yang bertanggungjawab menjaga baginda dan mengaku taat setia dengan mengadap baginda. Sekiranya DYMM Yang Di-Pertuan Besar Mangkat, menjadi tungas penghulu Luak Ulu Muar membawa berita tersebut kepada Undang Yang Empat atau dikenali sebagai Luak Berundang.
i. Luak Terachi
Sebelum kedatangan Raja Melewar ke Negeri Sembilan, Luak Terachi berada di bawah wilayah Ulu Muar yang terletak di sebelah timur lereng Gunung Angsi. Manakala sebahagian lagi termasuk di bawah pentadbiran Sungei Ujong. Keadaan pergolakan dan kemelut merebut jawatan yang berlaku antara Luak Sungai Ujong dengan Luak Ulu Muar mendorong penduduk Terachi keluar daripada menjadi wilayah Luak Sungai Ujong dan Luak Ulu Muar. Terdapat enam suku di dalam Luak Terachi dan setiap suku diketuai oleh lembaga masing-masing. Enam suku tersebut adalah Suku Seri Lemak Pahang, Suku Biduanda, Suku Tiga Nenek, Suku Batu Belang, Suku Batu Hampar, Suku Anak Acheh.
Luak Terachi menetapkan bahawa suku dari Seri Lemak Pahang mewarisi pesaka penghulu luaknya. Selain itu, perlantikan bagi jawatan penghulu luak dilakukan secara bergilir dalam kalangan perut yang terlingkung dalam suku tersebut. Jawatan pesaka Dato’ Andatar diwujudkan sebagai bakal penghulu luak. Hal ini kerana apabila penghulu luak meninggal dunia, maka Dato’ Andatar akan dilantik menyandang pesaka. Di samping itu, apabila Dato’ Andatar menyandang pesaka penghulu luak, maka ‘kepala waris’ Seri Lemak Pahang yang diketuai oleh Dato’ Amar Raja dan Dato’ Amar Penghulu perlu menamakan calon dan memaklumkan kepada semua dato’ lembaga. Penghulu luak menjadi pegawai di istana, hal ini kerana penghulu luak dikehendaki mengadap Yang Di-Pertuan di Seri Menanti setiap tiga tahun sekali.
ii. Luak Ulu Muar
Luak Ulu Muar sudah wujud semenjak pemerintahan Melaka lagi, hal ini berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ menyebut Muar sebagai wilayah yang telah wujud pada abad ke 13. Selain itu, ketika peristiwa kerajaan Melaka dikalahkan oleh Portugis maka Sultan Ahmad berlindung di Ulu Muar. Hal ini menunjukkan bahawa Ulu Muar sudah wujud semenjak kerajaan Melayu di Temasik. Sistem pentadbiran adat di Luak Ulu Muar berbeza sedikit daripada luak-luak lain. Hal ini kerana penghulu Luak Ulu Muar merupakan wakil bagi penghulu Luak Tanah Mengandung. Penghulu Luak Ulu Muar memiliki dua buah cop mohor dikurniakan oleh Sultan Johor iaitu Sultan Abdul Jalil II. Kemudian cop mohor kedua dikurniakan oleh Yamtuan Antah, Seri Menanti selaku ‘pengetua istana besar Seri Menanti’.
Susur galur keturunan penghulu Luak Ulu Muar terkait dengan takhta Kerajaan Negeri Sembilan. Hal ini kerana persaudaraan antara penghulu Luak Ulu Muar dengan kerabat diraja Seri Menanti bermula apabila Raja Melewar berkahwin dengan Sani anak perempuan kepada Penghulu Naam, penghulu luak yang pertama. Hubungan kekeluargaan tersebut kekal sehingga sekarang kerana Tengku Aisyah berkahwin dengan Yamtuan Hitam. Pesaka penghulu luak diwarisi suku Biduanda dan proses perlantikan penghulu luak sama seperti luak lain iaitu berlaku apabila dato’penghulu meninggal dunia atau meletakkan jawatan.
Lima orang penghulu terawal menyandang pesaka tidak diketahui daripada perut mana, namun selepas itu ditetapkan tiga perut berhak secara bergilir-gilir menjadi penghulu luak, Dato’ Perdana dan Dato’ Purba. Tiga perut yang terlibat adalah:
- Perut Pasir Panjang
- Perut Gementir
- Perut Kayu Ara
Luak Ulu Muar mempunyai dua belas suku tetapi jumlah lembaganya adalah lapan belas melibihi daripada jumlah sukunya. Hal ini kerana terdapat lembaga tambahan bagi melicinkan pentadbiran adat dalam kalangan anak buah yang bertambah ramai. Kuasa pentadbiran dato’ lembaga dibahagikan kepada tiga iaitu Lembaga Yang Empat, Lembaga Yang Delapan dan lembaga tambahan. Suku yang terdapat di Luak Ulu Muar adalah Tanah Datar, Mungkal, Seri Lemak Minangkabau, Seri Melenggang, Tiga Batu, Paya Kumbuh, Batu Belang, Anak Acheh, Batu Hampar, Seri Lemak Pahang, Tiga Nenek, Biduanda Sungai Ujong.
iii. Luak Gunung Pasir
Penduduk asal Luak Gunung Pasir adalah terdiri daripada golongan peneroka iaitu orang Minangkabau daripada suku Tanah Datar yang diketuai oleh Sutan Semanik. Sutan Semanik membawa pengikutnya menyeberangi Melaka dan Rembau, kemudian berpindah ke Seri Menanti dan membuka petempatan di Tanjung Alam yang kini dikenali sebagai Gunung Pasir. Ketika Gunung Pasir diasaskan urusan adat di luak tersebut kebanyakannya mengikut adat d Luak Rembau. Hal ini kerana kedudukan Gunung Pasir yang berhampiran dengan Luak Rembau menyebabkan pengamalan adat lebih kurang sama.
Apabila penduduk semakin ramai, ketua-ketua suku yang memegang pesaka telah bermuafakat melantik seorang tokoh untuk dijadikan sebagai penghulu bagi mengetuai anak-anak buah mengikut peraturan seperti di Luak Rembau yang sudah lama berpenghulu dan perlantikannya dilakukan di Sikai. Namun begitu, Penghulu Luak Gunung Pasir ketika itu tidak diiktiraf oleh sesiapa. Hal ini kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Rembau dan mengakibatkan Luak Gunung Pasir terikat dengan Luak Rembau. Oleh itu, apabila Rembau beraja maka Gunung Pasir juga turut menerima raja yang memerintah.
Sewaktu Yamtuan Seri Menanti tidak diiktirafkan oleh Sungai Ujong, Rembau dan Jelebu, maka Rembau telah meninggalkan Gunung Pasir. Taat setia Luak Gunung Pasir telah mengikut penghulu Luak Johol dan lain-lain penghulu Luak di Tanah Mengandung berikrar mengaku taat setia kepada Yamtuan Seri Menanti. Disebabkan taat setia terhadap Yamtuan Seri Menanti, penghulu Luak Gunung Pasir telah menerima cop mohor bergelar Orang Kaya Mempasir Setiawan.
Pemilihan penghulu adalah menjadi tanggungjawab mutlak Dato’ Monti Maharaja dan To’ Raja Menteri iaitu buapak, kedua-duanya waris Tanah Datar dan kemudian diperkenankan oleh dato’ lembaga dari setiap suuku. Terdapat enam suku di dalam Luak Gunung Pasir dan setiap suku diketuai oleh lembaga masing-masing. Berikut merupakan suku dan gelaran bagi dato’ lembaga:
- Dato’ Paduka Seri Maharaja (suku Tiga Batu)
- Dato’ Setia Lela (suku Seri Lemak Minangkabau)
- Dato’ Setia Raja (suku Paya Kumboh)
- Dato’ Bangsa Balang (suku Tiga Nenek)
- Dato’ Andika (suku Anak Acheh)
- Dato’ Lela Raja (suku Tiga Batu Lubuk Kepong)
iv. Luak Jempol
Luak Jempol merupakan salah satu luak yang meliputi Luak Tanah Mengandung dan sempadan luak ini meliputi kawasan di bahagian hulu sungai sehingga ke kuala Sungai Jempol. Kuala Sungai Jempol terletaknya jalan penarikan iaitu laluan perdagangan di antara Melaka dan Pahang sewaktu kegemilangan kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15. Selain itu, kuala Sungai Jempol yang mengalir ke sungai Muar merupakan jalan yang digunakan oleh pedagang-pedagang dari Melaka ke Pahang apabila pergi ke sungai Muar dan merentas jalan darat setelah sampai ke penarikan.
Peneroka Minangkabau yang datang ke Luak Jempol pada mulanya dipercayai di Jambu Lapan kemudian mereka belayar ke Sungai Muar sehingga ke penarikan. Selain itu, mengikut catatan oleh Balai Penghulu Luak Jempol mengenai kedatangan orang Minangkabau adalah bermula dengan empat suku datang ke Melaka dan seterusnya ke Batang Tiga. Empat suku awal yang datang adalah Suku Seri Melengang diketuai Juara Megat, Suku Tiga Batu diketuai Susu Labuh, Suku Tanah Datar tiada ketua, Suku Mungkal tiada ketua.
Penghulu Luak Jempol menjadi ketua pemerintahan adat dan agama di luak tersebut dan di bawahnya terdapat dato lembaga yang mengetuai suku masing-masing. Gelaran bagi penghulu luak adalah Dato’ Lela Putra Setiawan dan dilantik daripada waris Biduanda. Selain itu, penghulu Luak Jempol dikurniakan cop mohor oleh Sultan Johor sama seperti penghulu luak yang lain. Hal ini kerana sebagai membalas jasa taat setia penghulu kepada Yamtuan Antah. Di Samping itu, terdapat 10 suku dan 12 dato’ lembaga di Luak Jempol. Hal ini kerana suku Tiga Batu terbahagi kepada tiga, maka jumlah dato lembaga di Luak Jempol adalah dua belas. Gelaran lembaga dan sukunya adalah seperti berikut:
- Dato’ Lela Raja (suku Tiga batu)
- Dato’ Maharaja Setia (suku Tiga Batu)
- Dato’ Setia Raja (suku Tiga Batu)
- Dato’ Seri Amar Menteri (suku Tanah Datar)
- Dato’ Komo (suku Mungkal)
- Dato’ Setia Penghulu (suku Tiga Nenek)
- Dato’ Setia Pahlawan (suku Seri Lemak Pahang)
- Dato’ Umbi/ Dato’ Dio/ Dato’ Maharaja/ Dato’ Bentara (suku Biduanda Waris)
- Dato’ Raja Senara/ Dato’ Jengkaya (suku Seri Melenggang)
- Dato’ Besar (suku Batu Hampar)
- Dato’ Seri Pahlawan (suku Anak Acheh)
- Dato’ Sura (suku Paya Kumbuh)
v. Luak Inas
Luak Inas merupakan sebuah kawasan yang kecil dalam Luak Tanah Mengandung selain Gunung Pasir, luak ini terletak di antara Daerah Kuala Pilah dan Daerah Tampin. Luak inas mempunyai perkampungan asli yang menunjukkan mereka adalah penduduk asal bagi luak tersebut. Pada abad ke-18, dianggarkan orang Minangkabau meneroka Luak Inas. Hal ini kerana, orang Minangkabau banyak merantau ke Naning dan Rembau sebelum mereka membuat petempatan baru di Luak Inas. Selain itu, pergolakan yang berlaku di Rembau dan Naning juga menjadi faktor utama ramai orang Minangkabau berpindah ke Inas.
Penghulu di Luak Inas bermula daripada perempuan iaitu Embun Seri dengan taraf ‘bergajah tunggal’. Perbalahan yang berlaku dalam melantik bakal penghulu menyebabkan Undang Luak Johol, Dato’ Rambutan Jantan mengambil kesempatan dengan menyelesaikan perbalahan tersebut. Selain itu, langkah yang dilakukan oleh Dato’ Rambutan Jantan adalah dengan menjadikan beliau Undang Luak Johol dan merangkap Penghulu Luak Inas. Namun begitu, pada tahun 1820 pesaka penghulu Luak Inas dikembalikan kepada waris Inas sendiri iaitu Penghulu Mantik. Hal ini menunjukkan gelaran penghulu Luak Inas mempunyai persamaan dengan Undang Luak Johol iaitu Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan. Pesaka pengulu luak diwariskan kepada suku Biduanda Waris yang mempunyai tiga perut iaitu Perut Inas, Perut Dingkir dan Perut Nuri. Selain itu, ketiga-tiga perut menerima giliran bagi menyandang pesaka penghulu Luak Inas.
Struktur pentadbiran adat di Luak Inas sama dengan luak lain iaitu penghulu luak berkuasa penuh dan dibantu oleh dato’ lembaga. Terdapat sepuluh suku di Luak Inas dan tujuh daripadanya mempunyai dato’ lembaga. Suku yang terdapat di Luak Inas adalah Biduanda Kepala Punggor, Biduanda Chenerung, Seri Lemak Minangkabau, Seri Melenggang, Biduanda Buah Petai, Biduanda Waris, Tiga Nenek.
Luak Berundang mempunyai empat buah luak yang terdiri daripada Luak Sungai Ujong, Luak Jelebu, Luak Johol dan Luak Rembau. Luak ini diketuai oleh Undang dan tidak bernaung di bawah kuasa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Keempat undang ini dikenali sebagai Undang yang Empat. Undang yang Empat ini bertanggungjawab memilih dan melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan apabila pusaka tersebut kosong. Selain itu, pusaka undang disandang secara bergilir dalam kalangan perut dalam suku biduanda atau suku waris di luak masing-masing.
[ Maklumat Luak Berundang akan dikemaskini dari semasa ke semasa]
Luak Tampin merupakan luak yang dipimpin oleh pembesar bergelar Tunku Besar.
[ Maklumat Luak Tampin akan dikemaskini dari semasa ke semasa]