mention online: kukuh, mantap dan sensasi
Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia...
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung web MENTION ONLINE Edisi ke-6 ini. Dalam sekelip mata, MENTION ONLINE kendalian pelajar Komunikasi dan Pengurusan Maklumat (IM) sesi 2010-2013 kini sampai ke penghujungnya. Edisi terakhir ini akan memaparkan berita-berita yang menarik berkaitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesuai untuk tatapan pembaca sekalian. Kami juga turut menyediakan rencana- rencana yang menepati citarasa pembaca terutama golongan belia.
Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Emma Mirza Wati Mohamad yang telah banyak membantu saya dan rakan-rakan sepanjang penerbitan web MENTION ONLINE ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada krew – krew Edisi ke-6 iaitu Salsabil, Misalindah, Nik Fatin Farhah, Sow Cyn Sion, Nazmi, Zakwan dan Oii Qin Hui yang telah memberikan kerjasama dan melakukan tugas dengan baik. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan IM yang lain yang turut sama membantu menjayakan edisi ini. Kerjasama anda amat saya hargai.
Untuk pengetahuan pembaca sekalian, edisi kali ini memaparkan berita – berita mengenai kejayaan- kejayaan warga UKM dalam menaikkan lagi martabat UKM di mata dunia. Warga UKM berasa bangga apabila terdapat tiga orang pelajar Fakulti Undang-Undang yang mewakili Malaysia memenangi dua anugerah di peringkat antarabangsa dalam pertandingan ‘The 7th LAWASIA International Moot Competition 2012’ yang telah berlangsung pada 17 hingga 20 November lalu di Bali, Indonesia. Seluruh warga UKM turut digemparkan dengan berita kejadian tanah runtuh yang berlaku semasa pelajar sedang cuti pertengahan semester. Punca kejadian dan langkah-langkah yang diambil selepas kejadian tersebut berlaku boleh dibaca dalam edisi ini. Terdapat juga beberapa berita yang berkisarkan mengenai Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) seperti pengurusan surau FSSK dan juga Bengkel Latihan Industri Pusat Pengajian Media dan Komunikasi. Edisi ini bukan sahaja menampilkan berita di dalam kampus UKM tetapi juga di luar kampus.
Rencana-rencana yang disajikan di dalam edisi ini memaparkan reality kehidupan pelajar seharian dan juga informasi – informasi yang berguna pada masa hadapan. Antara topik yang dikupas dalam edisi ini adalah pahit manis kehidupan seorang pelajar yang memegang status berkahwin. Pelajar yang telah berkahwin bukanlah suatu perkara asing lagi dan mereka ini memerlukan kesungguhan yang tinggi untuk menstabilkan kehidupan berkeluarga dan sebagai seorang pelajar. Selain itu, tabiat pelajar kini lebih gemar menggunakan twitter berbanding facebook dalam berkomunikasi dengan kenalan mahupun dengan artis –artis dalam negara mahupun luar negara. Oleh itu, fenomena twitter yang meningkat secara mendadak dalam kalangan pelajar juga turut dimuatkan di dalam edisi ini.
Semoga informasi-informasi yang kami sediakan di dalam Edisi ke-6 ini mampu memberikan input kepada para pengunjung web MENTION ONLINE. Akhir kata dari saya, terima kasih buat semua warga UKM yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjaya MENTION ONLINE bermula dari edisi pertama hingga terakhir kalinya.
SH. NURAFIQAH BT SYED AHMAD KAMAL
Ketua Pengarang,
Mention Online 2012 Edisi Ke-6