Graduan Bekerja Sendiri VS Graduan Makan Gaji
NURAIN BINTI DAUD
Persoalan yang kerap berlegar di dalam minda setiap graduan ialah antara makan gaji vs kerja sendiri, yang mana satu harus dipilih? Jawapannya amat bergantung kepada apa yang diingini kerana setiap pilihan mempunyai pro dan kontra. Ya, ramai orang yang memilih kerja berdasarkan minat dan kelayakan mereka. Namun, terdapat juga graduan yang menceburi bidang yang berbeza sekali dengan kelayakan mereka. Kita diberi pilihan dan setiap orang berhak memilih sesuatu untuk kebaikan diri sendiri bagi jangka masa panjang.
Menurut Siti Abidah Hussien yang merupakan graduan daripada Universiti Malaya dari Jurusan Kesusasteraan, beliau lebih cenderung untuk bekerja sendiri daripada makan gaji. Keputusan yang diambil beliau untuk bekerja sendiri adalah disebabkan oleh sikapnya yang tidak suka diarah oleh sesiapa serta minat terhadap bidang perniagaan. Beliau telah menceburi diri dalam perniagaan biskut dan kek yang dijalankan secara kecil-kecilan dan beroperasi di rumah sahaja. Menurut beliau lagi, walaupun terdapat halangan daripada ahli keluarga, namun kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan pada ketika itu telah mendorongnya untuk menjalankan perniagaan tersebut.
Selain itu, Siti Abidah juga berkata bahawa terdapat kesukaran yang terpaksa dihadapi olehnya ketika mula-mula berjinak dalam bidang perniagaan seperti ditipu oleh pelanggan. Menurutnya, terdapat pelanggan yang tidak dapat mengambil tempahan pada saat-saat akhir dan ini menyebabkan kerugian kepadanya. Namun, beliau menganggap perkara tersebut merupakan pembakar semangat untuknya terus berusaha dalam perniagaan tersebut. Berkat kesabarannya, beliau berjaya dalam perniagaannya dan telah hampir dua tahun perniagaannya beroperasi.
Berlainan pula kepada Nora Faten Abdul Aziz yang bekerja makan gaji daripada bekerja sendiri. Beliau memberi pandangan bahawa bekerja makan gaji semestinya memberi cabaran kepada sesiapa sahaja untuk menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan dan amat membebankan diri kerana kadang-kala tiada masa untuk diri sendiri akibat daripada sibuk bekerja. Menurutnya, bekerja makan gaji telah memberi banyak pengalaman pahit manis kepadanya sepanjang dua tahun bekerja di syarikat IT. Melalui kerja-kerja yang dilakukan, beliau dapat mengenali kawan-kawan baru serta mempelajari karenah-karenah orang atasan yang kadang-kala amat cerewat dalam kerja mereka. Perkara yang paling dinantikan adalah ketika bayaran gaji atau bonus tambahan.
Saudari Nora turut memberi nasihat iaitu tidak terlalu memilih kerja yang sesuai dengan kita kerana alam pekerjaan dapat memberi pengalaman yang berguna kepada kita sebelum bekerja dalam bidang yang kita pilih. Peluang pekerjaan yang datang kepada kita seharusnya diambil untuk dijadikan pengalaman serta panduan kepada kita.