hari interaksi memupuk hubungan yang erat antara junior dan senior
oleh nor salsabil kk mohammad
Hubungan antara junior dan senior merupakan satu budaya yang amat sinonim dengan pelajar-pelajar terutama pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia. Hari interaksi yang diadakan pada permulaan semester memberi banyak manfaat kepada pelajar seperti memperkenalkan senior kepada junior, berkongsi pendapat antara satu sama lain, dan memberikan semangat kepada para junior untuk menempuh pelbagai cabaran sebagai seorang mahasiswa. Itulah pendapat yang dikongsi oleh Cik Siti Nor Hafizah Mahussin apabila ditemubual mengenai isu hari interaksi ini.
Menurut pelajar dari Program Sains Makanan dan Pemakanan ini, keberkesanan hari interaksi ialah dapat membantu mengeratkan hubungan antara junior dan senior. Di samping itu, hubungan seperti ini membantu para junior untuk menempuh alam universiti yang mencabar dengan berkongsi pengalaman antara satu sama lain.
Tambahan beliau, semasa hari interaksi diadakan, para senior haruslah menunjukkan keperibadian yang positif seperti ramah mesra, berkomunikasi dengan baik, menghormati junior dan sebagainya supaya dapat memberikan gambaran yang positif dalam minda junior mengenai perwatakan senior mereka. Gambaran yang positif ini dapat membuang persepsi junior seperti mereka akan dibuli oleh senior, dan dapat menyemai sikap saling menghormati antara satu sama lain.
Menurut beliau, selepas tamatnya hari interaksi, pelajar-pelajar junior akan menjadi rapat dengan senior mereka. Berdasarkan pengalaman beliau, selepas hari interaksi, para senior akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti majlis makan malam, hari keluarga, lawatan dan sebagainya dan meminta para junior untuk menyertai program tersebut. Dari sinilah hubungan senior dan junior menjadi bertambah erat serta membentuk sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan ini mengutarakan pendapatnya lagi iaitu antara kaum Melayu, Cina dan India, kaum Cina merupakan kaum yang paling rapat dengan junior dan senior mereka. Perhubungan mereka sangat akrab dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam.
Mereka melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dan para junior boleh meminta pertolongan dari senior mereka dalam banyak hal seperti meminta tunjuk ajar dalam membuat sesuatu tugasan, berkongsi nota dan sebagainya. Keakraban antara junior dan senior di kalangan kaum Cina seharusnya dijadikan contoh kepada kaum lain.
Akhir kata daripada pelajar tahun tiga Fakulti Sains dan Teknologi ini ialah, hari interaksi merupakan titik permulaan keakraban hubungan antara junior dan senior. Keakraban ini memberikan banyak manfaat antara satu sama lain.