Litar pintas atau Khianat?
Oleh : FARHANA KAMARUDDIN
UKM, Bangi : Sebuah ruang menonton televisyen di Blok K5A aras 2 yang terletak di kediaman pelajar lelaki Kolej Aminuddin Baki musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 18 Disember lalu. Kejadian tersebut berlaku lebih kurang pada jam 1.30 pagi.
Difahamkan, kejadian ini telah disedari oleh seorang pelajar lelaki yang berada di aras yang sama di blok itu dan menginap di bilik yang terletak bersebelahan bilik menonton televisyen berkenaan. Beliau yang menyedari akan kejadian berkenaan telah bertindak memadamkan api berkenaan.
Pelajar lain yang turut menyedari kejadian tersebut telah bertindak mengejut dan mengetuk kesemua pintu bilik bagi memastikan kesemua pelajar di blok berkenaan telah keluar menyelamatkan diri.
Pihak bomba mendapati, api bermula dari sebuah sofa yang terletak di ruang berkenaan dan ia telah menyebabkan keseluruhan ruang terbabit terbakar. Ia telah memusnahkan dua unit sofa serta seluruh ruang tersebut. Tiada barangan elektrik yang musnah akibat kebakaran tersebut.
Pihak bomba juga merasakan bahawa kebakaran ini berpunca dari sofa berkenaan kerana ruang tersebut tidak mempunyai sebarang barangan elektrik serta tiada fius atau wayar yang terbakar akibat litar pintas.
Menurut En. Muhammad Fahmi Mike b. Abdullah, selaku felo kediaman lelaki berkata, kejadian ini merupakan kejadian ketiga yang berlaku sepanjang tempoh bulan Disember ini. Kejadian yang pertama berlaku adalah pada 12 Disember, diikuti pada 16 Disember dan yang terbaru adalah 18 Disember.
Beliau yakin ia bukan berpunca dari litar pintas seperti yang dihebahkan oleh pelajar-pelajar kolej ini. Ini kerana tiada wayar elektrik yang terbakar akibat litar pintas. Beliau merasakan ia mempunyai unsur-unsur khianat yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
Pihak bomba dan polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai punca sebenar kejadian ini. Tetapi pihak polis dari bahagian jenayah cawangan Kajang, telah mengambil keterangan dari beberapa orang pelajar yang menjadi saksi kejadian. Pihak forensik serta unit anjing pengesan juga telah di bawa ke tempat kejadian bagi mencari dan mengesan sebarang bukti kes.
Pihak bomba pula telah membawa beberapa bahan bukti untuk di bawa pulang sebagai bahan bukti kes dan melakukan beberapa kajian seperti sofa yang musnah dalam kebakaran.
“Kami telah membuat satu jadual bertugas kepada semua felo untuk berjaga-jaga pada setiap masa bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang lagi. Kakitangan-kakitangan pejabat Kolej Amin juga telah diminta untuk bergilir-gilir bermalam di kolej bagi membantu dalam menangani hal ini.” Ujar En. Mike.